Artikel

BWF Senaraikan Aksi Tze Yong, Jin Wei Dalam Kejutan Terbaik Tahun 2023

Kejayaan Ng Tze Yong melakar kejutan ke atas perseorangan lelaki No.1 dunia, Viktor Axelsen tersenarai sebagai salah satu kejutan terbaik dalam arena badminton sepanjang tahun 2023 oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Mengimbau kembali pertarungan yang berlangsung di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England pada Mac lalu itu, ianya merupakan julung kalinya Tze Yong, 22 tahun, turun berhadapan jaguh dari Denmark terbabit di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, sepertimana ramai ketahui, Tze Yong yang berada pada ranking ke-28 dunia pada ketika itu berjaya menumpaskan Axelsen menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-15, 9-21 dan 23-21 dalam tempoh satu jam dan sembilan minit.

Pada masa yang sama, kemenangan Tze Yong itu sekaligus membuatkan Axelsen terkandas pada peringkat pusingan 16 dan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 1000 terbabit.

Sementara itu, seorang lagi pemain negara yang tersenarai dalam video kompilasi kejutan terbaik tahun 2023 oleh BWF adalah perseorangan wanita, Goh Jin Wei.

Pemain berusia 23 tahun ini turut tersenarai selepas mengejutkan bekas juara dunia dari India, P.V. Sindhu ketika turun mewakili Malaysia dalam saingan Piala Sudirman, Mei lalu.

Jin Wei yang turun pada perlawanan ketiga pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan C melakar kejutan ke atas Sindhu menerusi tiga set permainan menerusi skor 14-21, 21-10 dan 22-20 dalam tempoh masa sekitar satu jam.

Kemenangan yang digapai Jin Wei itu membolehkan mendahului 3-0 sekaligus mengesahkan kemenangan Malaysia ke atas India pada perlawanan tersebut.

Bertambah bermakna, Jin Wei melakar kemenangan ke atas Sindhu buat julung kalinya di pentas antarabangsa selepas tewas berturut-turut dalam empat pertemuan terdahulu.

Senarai penuh kejutan terbaik dalam arena badminton tahun 2023 boleh ditonton pada video di bawah:

komen