Grab Malaysia kini diumumkan sebagai Rakan E-Hailing dan Penghantaran Makanan Rasmi FAM bermula hari ini.
Pengumuman itu hadir setelah Grab Malaysia menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelang kempen Piala Asia 2023 yang berlangsung di Qatar bermula 12 Januari hingga 10 Februari 2024 kelak.
Perjanjian kerjasama melibatkan kedua-dua pihak itu dimuktamadkan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada hari ini.
Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin menyimpulkan kehadiran Grab Malaysia akan memberikan suntikan semangat kepada barisan kejurulatihan dan pemain pada kempen Piala Asia kelak.
Menurut Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo, menerusi kerjasama ini, Grab akan memastikan keperluan harian pasukan bola sepak negara akan diuruskan dengan sempurna sekaligus membolehkan mereka menumpukan sepenuh perhatian terhadap prestasi.
Pada masa yang sama, kerjasama ini membolehkan Grab memberi sumbangan bermakna terhadap bola sepak negara serta mendorong kejayaan di peringkat global.
Selain menyokong perjuangan skuad kebangsaan iaitu Harimau Malaya, kehadiran Grab adalah bertujuan untuk meraikan perpaduan menerusi bola sepak bersama jutaan rakyat Malaysia.
Untuk makluman, perjanjian kerjasama ini telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman bersama Pengarah Operasi dan Mobiliti Grab Malaysia, Rashid Shukor sambil disaksikan oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram dan Pengarah Komersial dan Penghantaran Grab Malaysia, Tan Jiong Jian.
Featured Image: Football Association of Malaysia