Jodoh pengendali dari Argentina, Esteban Solari nampaknya hanya bertahan selama semusim sahaja bersama Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ini berikutan jurulatih berusia 43 tahun yang mengemudi skuad berjulukan Harimau Selatan menjuarai trofi Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super pada tahun ini tergolong dalam kalangan individu yang dilepaskan oleh JDT.
Kehebatan Solari mengemudi JDT bukan sahaja terarah kepada kejayaannya merangkul keempat-empat trofi terbabit bahkan turut memastikan rekod tanpa kalah dalam pelbagai pertandingan domestik serta merekodkan jaringan 100 gol dalam kempen liga, musim ini.
Sebagai rekod, Solari hadir pada awal Januari lalu bagi menggantikan Hector Bidoglio yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Teknikal JDT.
Bersama JDT, Solari telah mengendalikan 43 perlawanan secara keseluruhan dalam saingan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Daripada jumlah perlawanan yang dikendalikan itu, Solari merekodkan hampir 85% kadar kemenangan.
Selain Solari, JDT turut melepaskan beberapa individu lain daripada barisan kejurulatihan seperti Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr. Leandro Pinero.
Menjelaskan dengan lebih lanjut, nama-nama tersebut dilepaskan oleh JDT bagi melakukan penstrukturan semula kewangannya menerusi pengurangan perbelanjaan sehingga 40% bagi memastikan kelangsungan jangka masa panjang kelab.
View this post on Instagram
Featured Image: JOHOR Southern Tigers