Gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) membuat kejutan besar melepaskan ketua jurulatih yang menghadirkan empat trofi, Esteban Solari serta beberapa individu penting dalam barisan kejurulatihannya.
Bukan setakat itu, JDT turut bertindak melepaskan pemain-pemain senior seperti Aidil Zafuan, S. Kunanlan, Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin termasuk wira perlawanan akhir Piala AFC 2015, Leandro Velazquez.
Difahamkan, JDT melakukan transformasi mengejut itu untuk menstrukturkan semula kewangannya bagi memastikan kelangsungan jangka masa panjang buat kelab berjulukan Harimau Selatan ini.
Pada masa yang sama, pemilik kelab, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengungkapkan proses penjimatan itu dilakukan berikutan penjualan tiket pada hari perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang tidak memuaskan.
“(JDT) underdog (bukan pilihan) tahun depan. Akan ada ramai lagi yang akan keluar dari kelab.
“Proses berjimat. Stadium jarang penuh. RM10 sahaja tiket terbuka.” tulisnya di ruangan komen pada hantaran di akaun rasmi Instagram milik JDT, hari ini
Berdasarkan rekod, kehadiran penyokong ke SSI yang berkapasiti sekitar 40,000 tempat duduk itu pada hari perlawanan merupakan yang tertinggi berbanding kesemua pasukan Liga Super sepanjang musim ini.
Secara keseluruhan, kehadiran penyokong ke SSI pada musim ini dalam saingan Liga Super adalah sebanyak 195,928 orang dengan purata sebanyak 15,071 orang bagi setiap perlawanan.
Sebagai perbandingan, Sabah FC yang berada di tempat kedua pula mencatatkan kehadiran penyokong seramai 128,270 orang dengan purata 9,867 orang bagi setiap perlawanan.
“Apapun kita doa yang terbaik untuk kelab. Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong kami.” tambah Tunku Ismail lagi.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers