Khidmat pemain tinggi lampai dari Croatia, Ivan Mamut nampaknya kekal menjadi taruhan utama Terengganu FC di bahagian serangannya bagi mengharungi saingan musim 2024-25.
Perkara ini hadir selepas pasukan yang muncul naib juara Piala Malaysia 2023 itu mengesahkan melanjutkan kontrak pemain berusia 26 tahun yang memiliki ketinggian 1.92 meter (m) terbabit.
“Ivan Mamut secara rasmi telah menandatangani kontrak lanjutan untuk terus kekal bersama kelab ini untuk saingan musim hadapan.” demikian makluman daripada pihak kelab berpangkalan di pantai timur itu.
“Ivan menyatakan apa yang beliau lalui sepanjang musim bersama kelab termasuk penyokong, barisan kejurulatihan dan rakan pasukan ini telah membantu meningkatkan motivasi dan prestasi beliau.”
“Ivan ingin buktikan beliau akan tampil lebih cemerlang untuk musim keduanya bersama kelab ini!” tambah kenyataan oleh Terengganu lagi.
Sebagai rekod, Ivan yang mula menyertai Terengganu pada 4 Januari lalu menjadi taruhan utama ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner di bahagian serangannya dengan diturunkan sebanyak 35 kali dalam pelbagai pertandingan musim ini.
Daripada jumlah penampilan tersebut, Ivan berhasil menyumbat 23 gol disamping mencetak satu bantuan gol.
Rekod itu telah membantu Terengganu menamatkan saingan bola sepak musim ini selaku penghuni keenam Liga Super, mara ke separuh akhir Piala FA, muncul naib juara Kumpulan G dalam saingan Piala AFC selain muncul naib juara Piala Malaysia.
View this post on Instagram
Featured Image: Terengganu FC