Morales Tak Kisah Beraksi Sebagai Penyerang Atau Pemain No.10
December 29, 2023 Hafizuddin Omar

Pemain yang julung kali dipanggil untuk menyertai skuad bola sepak kebangsaan selepas mendapat kerakyatan Malaysia, Romel Morales tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengisi mana-mana posisi sepertimana dimahukan oleh ketua jurulatih.

Bahkan, pemain berusia 26 tahun kelahiran Colombia ini bukan sahaja bersedia untuk bermain di posisi kebiasaannya seperti penyerang atau pemain No.10 malahan termasuk posisi di luar kebiasaannya.

“Beberapa tahun yang sudah saya bermain di pelbagai posisi, jadi, ini merupakan tugas kami untuk menyesuaikan diri di posisi yang berbeza,”

“Saya dimainkan di posisi khas sebagai penyerang, saya tak pasti, mungkin dia (Kim Pan-gon) mahu mainkan saya sebagai penyerang atau pemain No.10,”

“Mana-mana posisi yang dia mahukan saya bermain, saya akan berikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui pengamal media sebelum memulakan sesi latihan baru-baru ini.

Pada permulaan karier Morales dalam kancah Liga Malaysia bersama PKNS FC pada tahun 2018 dan 2019, pemain berketinggian 1.87 meter (m) ini seringkali diberikan peranan sebagai pemain tengah menyerang atau pemain No.10.

Peranan itu diteruskannya ketika bersama Melaka United FC pada tahun 2020 serta Kuala Lumpur City FC (KL City) pada musim 2021.

Namun begitu, ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak memberikan peranan baharu kepada Morales selaku penyerang sekitar pertengahan musim 2022 ekoran kecederaan yang anterior cruciate ligament (ACL) menimpa Kyrian Nwabueza – penyerang utama KL City. 

Pada saat itu, Morales mengakui pertukaran posisi tersebut bukanlah sesuatu yang mudah buatnya untuk menyesuaikan diri namun ianya dapat dijayakannya dengan baik.

Sebagai rekod, Morales berhasil meledak sebanyak 14 gol disamping mencetak dua bantuan gol hasil daripada 29 penampilannya dalam pelbagai pertandingan bersama skuad berjulukan The City Boys sepanjang musim ini.

Sebagai perbandingan, pada musim 2022, Morales merekodkan sembilan gol serta dua bantuan gol daripada 30 penampilan secara keseluruhan termasuk saingan Piala AFC.

Featured Image: Kuala Lumpur City FC

Komen