Syamer Tolak Bulan Madu, Syamer Pilih Harimau Malaya
December 29, 2023 Hafizuddin Omar

Pertembungan samada menyahut panggilan skuad kebangsaan atau berbulan madu bersama isteri bukanlah satu pilihan yang sukar untuk dilakukan oleh pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Syamer Kutty Abba.

Pemain berusia 26 tahun kelahiran Pulau Pinang yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan bersama pasangannya, Nur Miza Athira pada 25 Disember lalu memaklumkan lebih gembira untuk menyertai skuad Harimau Malaya berbanding berbulan madu.

Bahkan Syamer menjelaskan pilihan yang dibuatnya itu sudah difahami oleh pasangannya yang bergelar isteri kepada seorang pemain bola sepak profesional.

“Saya rasa itu bukan satu masalah untuk saya tapi lebih gembira berada di sini daripada saya berbulan madu dengan isteri saya,” katanya ketika ditemui para pengamal media pada hari ketiga sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM.

“Kitorang (Syamer dan isteri) dah bincang pasal benda ni dan dia tahu keutamaan saya pasal benda ni, dia tahu keutamaan saya adalah bola dahulu, jadi, saya harap ini akan menjadikan saya sebagai pemain yang lebih baik untuk negara,” tambah Syamer lagi.

Sebagai rekod, Syamer kembali disenaraikan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon untuk menyertai kem latihan pusat menjelang saingan Piala Asia 2023 selepas kali terakhir dipanggil pada Jun lalu.

Panggilan untuk menyertai kem latihan pusat pada kali ini sangat disyukurinya memandangkan Syamer bergelut kembali daripada kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) pada tahun lalu disamping ditimpa beberapa kecederaan pada musim ini.

“Sejujurnya alhamdulillah, saya tunggu peluang ini sangat lama, kitorang semua tahu tahun ni merupakan tahun yang sukar buat saya, (alami) kecederaan demi kecederaan,” katanya.

Mengulas mengenai perebutan dalam kalangan pemain di posisi tengah, Syamer melihatnya sebagai satu persaingan sihat yang akan memberikan kebaikan buat kebaikan buat skuad Harimau Malaya.

Sebagai rekod, Syamer tampil sebanyak 14 kali dalam pelbagai pertandingan termasuk saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL). 

Featured Image: PFA Malaysia – Syamil Rosli

Komen