Harimau Selatan Pinjamkan Pemain Harimau Malaya
December 29, 2023 Hafizuddin Omar

Dua pemain skuad kebangsaan atau nama julukannya, Harimau Malaya iaitu Safawi Rasid dan Akhyar Rashid tidak berada dalam perancangan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim hadapan.

Bagaimanapun, kedua-dua pemain berusia 26 dan 24 tahun masing-masing itu masih dimiliki oleh JDT atau nama julukannya Harimau Selatan.

Namun demikian, Safawi dan Akhyar yang kini sedang menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan sebagai persiapan untuk ke saingan Piala Asia 2023 akan dipinjamkan keluar.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh sendiri oleh pihak kelab menerusi satu kenyataan yang disiarkan semalam menerusi pelbagai platform media sosialnya.

Difahamkan, keputusan untuk meminjamkan kedua-dua pemain tersebut mempunyai kaitan dengan usaha kelab yang dimiliki oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim untuk mengurangkan perbelanjaannya sehingga 40%.

Sebagai rekod, Safawi dan Akhyar hanya diturunkan sebanyak 3 dan 16 kali masing-masing oleh JDT dalam saingan domestik sepanjang musim ini. 

Bagaimanapun tiada sebarang pengesahan daripada pihak JDT mengenai kelab yang akan disertai oleh kedua-dua pemain tersebut pada musim hadapan.

Namun begitu, ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner dalam satu sidang media mengesahkan pihaknya ada melakukan rundingan untuk mendapatkan Safawi yang berkaki kidal terbabit, baru-baru ini.

Dalam kenyataan yang sama disiarkan oleh JDT,  dua lagi pemain yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan iaitu Syafiq Ahmad, 28 tahun serta Haziq Nadzli, 25 tahun, turut sama dipinjamkan keluar.

Tidak ketinggalan, senarai pemain yang dipinjamkan keluar oleh JDT itu turut disertakan dengan pemain import dari Sepanyol yang berusia 25 tahun iaitu Oscar Arribas.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen