Disebalik lahirnya bintang-bintang baharu dalam kancah bola sepak di seluruh dunia, beberapa pemain ternama merangkumi berstatus legenda mengumumkan menggantung but masing-masing sekaligus mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak.
Sebelum menggantung but, pemain-pemain ini bukan sahaja mewarnai kancah bola sepak dunia bahkan turut merangkul pelbagai trofi kejuaraan bersama-sama kelab atau negara masing-masing serta anugerah peribadi dalam tempoh dua dekad yang lalu.
Umumnya para pemain akan membuat keputusan untuk bersara apabila berpuas hati dengan segala pencapaian sepanjang berkarier sebagai pemain bola sepak. Tidak kurang juga pemain bersara setelah menyedari prestasinya kian menurun ekoran faktor usia, kesihatan atau kecederaan.
Berikut adalah 10 pemain bola sepak ternama yang mengumumkan persaraannya pada tahun 2023:
#1 Gareth Bale – 33 Tahun
Penyerang sayap skuad kebangsaan Wales, Gareth Bale menjadi pemain ternama terawal yang bersara pada tahun ini ketika berusia 33 tahun. Keputusannya untuk menggantung but itu diumumkan menerusi hantaran di pelbagai platform media sosialnya pada 9 Januari.
Sepanjang bergelar pemain bola sepak profesional, Bale berkaki kidal yang terkenal dengan larian pantasnya di di bahagian sayap kiri merekodkan 554 penampilan, meledak 186 gol serta mencipta 137 bantuan gol bersama empat kelab yang disertainya iaitu Southampton, Tottenham Hotspur, Real Madrid dan Los Angeles FC.
Antara trofi yang berjaya dijulangnya selaku pemain adalah Piala Liga England, Supercopa de Espana, Copa del Rey, La Liga, Piala Super UEFA, Liga Juara-Juara UEFA serta Piala Dunia Kelab FIFA.
Sementara itu, bersama skuad kebangsaan Wales, Bale merekodkan 111 penampilan serta menjaringkan 40 gol selain mencetak 22 bantuan gol dalam pelbagai pertandingan termasuk kancah EURO 2016 dan 2020 serta Piala Dunia 2022.
#2 Lucas Leiva – 36 Tahun
Pemain tengah kelahiran Brazil yang beraksi selama sedekad bersama Liverpool, Lucas Leiva menjadi pemain ternama kedua – mengumumkan persaraannya sebagai pemain bola sepak profesional pada usia 36 tahun. Dukacitanya, keputusan untuk bersara itu terpaksa dibuat Lucas menghampiri penghujung Mac lalu ekoran masalah jantung.
Lucas memulakan karier bola sepaknya bersama Gremio – sebuah kelab di negara kelahirannya – sebelum menyertai Liverpool diikuti Lazio dan kembali semula ke Gremio di penghujung kariernya. Sepanjang tempoh itu, Lucas merekodkan 607 penampilan, menjaringkan 19 gol serta mencetak 33 bantuan gol.
Lucas antara pemain yang tidak memenangi banyak kejuaraan ketika bergelar pemain bola sepak namun pemain yang mempunyai ketinggian 1.79 meter (m) ini berpeluang merasai nikmat menjulang trofi Piala Liga (2011-12), Supercoppa Italiana (2017, 2019) dan Coppa Italia (2018-19) bersama Liverpool dan Lazio.
Manakala bersama skuad kebangsaan, Lucas merekodkan 24 penampilan dimana empat daripadanya dalam saingan Copa America 2011 dan selebihnya dalam perlawanan persahabatan antarabangsa dan kelayakan Piala Dunia.
#3 Emmanuel Adebayor – 39 Tahun
Selang beberapa hari selepas Lucas mengumumkan persaraannya, penyerang kelahiran Togo yang pernah merancakkan saingan Liga Perdana Inggeris bersama Arsenal dan Manchester City iaitu Emmanuel Adebayor pula mengikuti jejak langkah yang sama pada usia 39 tahun.
Adebayor bergelar pemain bola sepak profesional sekitar 22 tahun dan sepanjang tempoh itu penyerang berketinggian 1.91 meter (m) ini telah menyertai 11 kelab seperti FC Metz, AS Monaco, Real Madrid, Tottenham Hotspur, Crystal Palace, Istanbul Basaksehir, Kayserispor, Club Olimpia dan terakhir, AC Semassi selain Arsenal dan Man City.
Bersama kesemua kelab itu, Adebayor berhasil mencetak 207 gol dan mencipta 65 bantuan gol daripada 593 penampilan secara keseluruhan dalam pelbagai pertandingan. Bagaimanapun, Adebayor hanya berpeluang menjulang trofi sebanyak sekali sahaja iaitu Copa del Rey pada musim 2010-11 ketika beraksi sebagai pemain pinjaman Real Madrid.
Bersama skuad kebaangsaan Togo, Adebayor berkesempatan beraksi dalam Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) edisi 2002, 2006, 213 dan 2017 serta Piala Dunia FIFA edisi 2006. Secara keseluruhannya, Adebayor telah merekodkan 65 penampilan serta meledak 26 gol dan mencipta empat bantuan gol.
#4 Mesut Ozil – 34 Tahun
Pernah dilabel sebagai salah seorang pemain tengah menyerang terbaik dunia ketika di prestasi kemuncaknya, Mesut Ozil turut sama menyertai senarai ini apabila mengumumkan menggantung butnya menghampiri penghujung Mac lalu – pada usia 34 tahun.
Pemain berkaki kidal yang mempunyai kemampuan untuk melorongkan bola secara kreatif kepada rakan sepasukan untuk menjaringkan gol ini juga merupakan salah seorang anggota skuad kebangsaan Jerman yang menjulang trofi teragung, Piala Dunia FIFA pada tahun 2014 di Brazil.
Secara keseluruhannya, Ozil beraksi dengan enam buah kelab sepanjang bergelar pemain profesional bermula daripada Schalke 04 diikuti Werder Bremen, Real Madrid, Arsenal, Fenerbahce dan akhir sekali, Istanbul Basaksehir – 645 penampilan, 114 gol dan 222 bantuan gol.
Penghujung karier Ozil berakhir dengan tidak begitu gemilang disamping disulami dengan beberapa isu luar padang namun mengumpul beberapa kejuaraan seperti Piala Jerman (2008-09), Perisai Komuniti (2015, 2016), Piala FA England (2013-14, 2014-15, 2016-17, 2019-20) Supercoppa de Espana (2012-13), Copa del Rey (2010-11) dan La Liga (2011-12).
#5 Zlatan Ibrahimovic – 41 Tahun
Penyerang yang mempunyai keyakinan tinggi, petah berkata-kata selain berbisa di hadapan gawang, Zlatan Ibrahimovic turut mengisi senarai ini apabila mengumumkan persaraannya selepas perlawanan menentang Hellas Verona di Stadium San Siro pada awal Jun lalu.
Pengumuman tersebut sekaligus menoktahkan karier bola sepaknya selama 24 tahun bersama sembilan buah kelab iaitu Malmo FF, Ajax, Juventus, Inter Milan, Barcelona, AC Milan, Paris Saint-Germain, Manchester United dan LA Galaxy.
Sepanjang tempoh bersama kesemua kelab tersebut, pemain berketinggian 1.95 meter (m) kelahiran Sweden ini menemui jaring belakang gol sebanyak 496 kali serta 205 bantuan gol daripada 827 penampilan.
Pelbagai deretan trofi pernah dijulangnya seperti Trophee des Champions, Coupe de La Ligue, Coupe de France, Ligue 1, Serie A, Supercoppa Italiana, Piala Liga, Perisai Komuniti, Liga Europa, La Liga, Supercopa de Espana, Piala Super UEFA, Piala Dunia Kelab FIFA, Eredivisie, Piala KNVB dan Perisai Johan Cruyff.
Pada masa yang sama, kelibatnya bersama skuad kebangsaan Sweden pula direkodkan sebanyak 122 kali dengan ledakan 62 gol dan 25 bantuan gol. Penampilannya bersama Sweden turut merangkumi dalam empat edisi EURO (2004, 2008, 2012 dan 2016) serta dua edisi Piala Dunia FIFA (2002 dan 2006).
#6 David Silva – 37 Tahun
Pemain tengah yang cukup sinonim aksinya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) khususnya Manchester City, David Silva antara pemain ternama yang turut sama menggantung butnya pada tahun ini – diumumkan pada penghujung Julai – selepas mengalami kecederaan lutut yang serius semasa menjalani latihan pramusim bersama Real Sociedad.
Pengumuman menyedihkan itu hadir ketika usianya 37 tahun setelah 19 tahun bergelar pemain bola sepak profesional bersama lima kelab termasuk Valencia, Elbar, Celta Vigo selain Man City dan Real Sociedad.
Sepanjang tempoh itu, Silva yang dikategorikan sebagai maestro di bahagian tengah ketika di kemuncak kariernya merekodkan 747 penampilan selain menjaringkan 121 gol dan mencipta 194 bantuan gol secara keseluruhan dalam pelbagai pertandingan.
Karier pemain kelahiran Sepanyol itu turut dihiasi dengan pelbagai kejuaraan seperti Liga Perdana Inggeris, Piala FA England, Piala Liga England, Perisai Komuniti dan Supercopa de Espana.
Sementara itu, bersama skuad kebangsaan negara kelahirannya, Silva merekodkan 125 penampilan dimana dia turut serta dalam tiga edisi Piala Dunia FIFA (2010, 2014 dan 2018) serta tiga edisi EURO (2008, 2012 dan 2016). Sepertimana ramai ketahui, Silva juga merupakan sebahagian daripada anggota skuad Sepanyol yang menjulang kejuaraan EURO 2008 dan 2012 serta Piala Dunia 2010.
#7 Gianluigi Buffon – 45 Tahun
Satu-satunya penjaga gol yang mengisi senarai ini, Gianluigi Buffon mengumumkan menggantung sarung tangannya pada awal Ogos lalu – pada usia 45 tahun – yang menoktahkan karier bola sepaknya selama 28 tahun.
Pemain kelahiran Tuscany, Itali yang mempunyai mempunyai ketinggian 1.92 meter (m) ini hanya beraksi dengan tiga kelab sahaja sepanjang kariernya iaitu Parma, Juventus dan Paris Saint-Germain (PSG) namun mencetak hampir 1000 penampilan atau secara tepatnya 975 penampilan disamping melakar 429 clean sheet.
Kariernya banyak berkisar dalam kancah Serie A dan disebabkan itu Buffon mempunyai 10 kejuaraan Serie A, enam kemenangan Coppa Italia serta merangkul Supercoppa Italia sebanyak tujuh kali. Sementara itu, tempoh pendeknya bersama PSG turut menghadirkan kejuaraan Ligue 1 dan Trophees de France ke dalam koleksinya.
Bagi penglibatannya bersama skuad kebangsaan Itali atau nama julukannya, Azzurri, Buffon antara yang bertuah apabila dapat menyertai lima edisi Piala Dunia FIFA (1998, 2002, 2006, 2010 dan 2014) serta lima edisi EURO (2000, 2004, 2008, 2012 dan 2016). Statistiknya bersama skuad kebangsaan Itali adalah merekodkan sebanyak 176 penampilan diiringi dengan 77 kali clean sheet serta merangkul kejuaraan Piala Dunia FIFA 2006.
#8 Eden Hazard – 32 Tahun
Penyerang sayap lincah, Eden Hazard menjadi pemain ternama termuda mengisi senarai ini apabila dia mengumumkan persaraannya selaku pemain bola sepak profesional pada awal Oktober lalu pada usia 32 tahun. Keputusan itu hadir ketika dia bergelar ejen bebas setelah dilepaskan oleh Real Madrid pada musim panas lalu.
Karier Hazard yang merupakan kelahiran Belgium ini bermula di Perancis bersama LOSC Lille sebelum mencapai kemuncaknya bersama Chelsea dan berakhir dengan kemalapan di Real Madrid. Bersama ketiga-tiga kelab tersebut, Hazard merekodkan 623 penampilan disamping meledak 167 gol dan mencipta 157 bantuan gol.
Walaupun bersara pada usia yang boleh disifatkan sebagai masih muda, Hazard sempat merangkul deretan trofi kejuaraan seperti Ligue 1, Coupe de France, Liga Perdana Inggeris, Piala FA England, Piala Liga England, La Liga, Copa del Rey, Supercopa de Espana, Liga Europa, Liga Juara-Juara UEFA dan Piala Super UEFA.
Akan tetapi, penglibatannya bersama skuad kebangsaan Belgium tidak memberikan sebarang trofi biarpun skuad berjulukan The Red Devils itu pernah mengungguli takhta No.1 dalam Ranking Dunia. Pencapaian terbaiknya bersama Belgium adalah muncul penghuni ketiga dalam saingan Piala Dunia FIFA 2018. Secara statistiknya, Hazard merekodkan 126 penampilan disamping menjaringkan 33 gol dan menghasilkan 36 bantuan gol.
#9 Alex Song – 36 Tahun
Pertengahan November lalu, pemain tengah bertahan yang mewarnai kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Arsenal iaitu Alex Song mengumumkan persaraannya pada usia 36 tahun.
Pemain kelahiran Cameroon ini juga diingati dengan perpindahannya ke Barcelona yang untuk menerima gaji lumayan biarpun dijangka tidak akan dapat meraih minit permainan yang tinggi seperti di Arsenal.
Song memulakan karier seniornya bersama SC Bastia sebelum berhijrah ke Arsenal, menyertai Charlton Athletic diikuti berpindah ke Barcelona, West Ham United, Rubin Kazan, Sion dan terakhir, AS Arta.
Sepanjang tempoh itu, Song telah tampil sebanyak 419 kali. Memandangkan Song merupakan pemain tengah bertahan, rekod jaringannya bukanlah sesuatu yang banyak dihasilkan. Dia berhasil meledak 13 gol selain mencipta 32 bantuan gol disamping merangkul kejuaraan La Liga dan Supercopa de Espana.
Sementara itu, bersama skuad kebangsaan Cameroon, Song tampil sebanyak 47 kali dimana dia terlibat dalam tiga edisi Piala Negara-Negara Afrika (2006, 2008, 2010) dan menjejaki dua edisi Piala Dunia FIFA (2010, 2014).
#10 Giorgio Chiellini – 39 Tahun
Pertahanan Itali yang dikenali ramai, Giorgio Chiellini menjadi pemain terakhir yang mengisi senarai panjang pemain ternama yang bersara pada tahun 2023 apabila mengumumkan persaraannya menghampiri pertengahan Disember baru-baru ini.
Chiellini beraksi dengan lima buah kelab sepanjang kariernya yang terdiri daripada Livorno, Roma, Juventus, Fiorentina dan Los Angeles FC. Penyertaannya bersama kelima-lima kelab itu membolehkannya merekodkan 710 penampilan, menjaringkan 44 gol dan mencipta 29 bantuan gol.
Memandangkan kariernya bertumpu di negara kelahirannya sendiri, pelbagai kejuaraan yang dirangkulnya turut menggambarkan perkara itu dengan sembilan kali juara Serie A, lima kali juara Copa Italia dan lima gelaran Supercoppa Italia. Tidak ketinggalan, tempoh pendeknya dalam kancah bola sepak Amerika Syarikat turut memberikannya kejuaraan Piala MLS.
Manakal bersama skuad kebangsaan Itali atau Azzurri, Chiellini adalah sebahagian daripada anggota skuad yang menjuarai EURO 2020. Chiellini bagaimanapun tidak terlibat ketika Itali menjuarai Piala Dunia FIFA 2006. Sebagai rekod, Chiellini tampil sebanyak 117 kali selain menjaringkan lapan gol dan mencipta empat bantuan gol bersama Azzurri.