Hadaf yang bermaksud gol dalam bahasa arab menjadi judul bagi Lagu Rasmi Piala Asia 2023 Qatar yang turut disertai Malaysia bermula 12 Januari hingga 10 Februari kelak.
Lagu berdurasi 3.58 minit itu menggalakkan orang ramai untuk mengejar cita masing-masing serta para penyokong untuk berada di belakang skuad kebangsaan masing-masing untuk membangkitkan semangat bagi menjaringkan gol dan meraih kemenangan.
Hadaf dilancarkan oleh penerbit, Katara Studios dan pengedar, Awakening Music, semalam, menerusi akaun media sosial rasmi kejohanan, X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).
Untuk makluman, lagu ini ditulis oleh Heba Harmada (Kuwait) serta dinyanyikan oleh Fahad Al-Hajjaji (Qatar) dan Humood AlKhudher – penyanyi yang terkenal dengan nyanyian lagu Kun Anta.
Lagu rasmi ini boleh didengari oleh para penyokong dan peminat di pelbagai platform seperti Youtube, Youtube Music dan Spotify.