RTM Sedang Runding Untuk Siar Aksi Harimau Malaya Di Piala Asia 2023
January 3, 2024 Hafizuddin Omar

Para penyokong dan peminat tempatan dijangka akan dapat menonton persembahan skuad Harimau Malaya di pentas Piala Asia 2023 secara percuma di skrin televisyen masing-masing.

Ini selepas stesen televisyen milik kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) sedang berunding untuk menyiarkan perlawanan melibatkan skuad Harimau Malaya di saluran “free-to-air” miliknya.

Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman mengesahkan perkara itu sendiri menerusi satu hantaran di platform media sosial X, semalam.

Untuk makluman semua, Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon menempa sejarah apabila berjaya melangkah ke saingan Piala Asia secara merit selepas 43 tahun. 

Langkah itu direalisasikan apabila Harimau Malaya muncul naib juara ketiga terbaik merentasi enam kumpulan dalam pusingan ketiga kelayakan, tahun lalu.

Kejohanan yang berlangsung di Qatar bermula 12 Januari itu nanti menyaksikan Harimau Malaya telah diundi dalam Kumpulan E bersama-sama Republik Korea (ranking ke-23 dunia), Bahrain (ranking ke-86 dunia) dan Jordan (ranking ke-87 dunia).

Harimau Malaya akan memulakan kempen peringkat kumpulan dengan menentang Jordan (16 Januari) diikuti Bahrain (20 Januari) serta Korea (25 Januari).

Komen