Penyerang Legenda Man Utd Hilang Mata Pencarian
January 3, 2024 Hafizuddin Omar

Penjaring terbanyak sepanjang zaman yang berstatus legenda Manchester United (Man Utd), Wayne Rooney kini hilang mata pencariannya dan terpaksa menganggur.

Ini berikutan bekas pemain berusia 38 tahun tersebut yang berperanan sebagai pengurus Birmingham City dalam kancah Liga Kejuaraan (divisyen kedua England) telah dipecat oleh majikannya, semalam. 

Lebih malang, pemecatan itu hadir selepas Rooney baru sahaja mengendalikan 15 perlawanan melibatkan Birmingham City sejak dilantik sekitar awal Oktober lalu dengan kontrak selama tiga tahun dan setengah.

Lembaga Pengarah Birmingham City merasakan usaha yang dilakukan oleh Rooney dan barisan kejurulatihannya tidak menepati jangkaan yang dimahukan dan satu perubahan perlu dilakukan untuk kebaikan kelab.

Sebagai rekod, daripada 15 perlawanan yang dikendalikan, Rooney hanya merekodkan dua kemenangan, empat keputusan seri dan sembilan kekalahan.

Pada saat ini, Birmingham City atau nama julukannya, Blues berada di tangga ke-20 Liga Kejuaraan dengan mengutip 28 mata daripada 26 perlawanan.

Untuk makluman semua, ini merupakan kelab ketiga dilatih atau diuruskan oleh Rooney selepas Derby County (England) dan DC United (Amerika Syarikat). 

Dalam kenyataan yang sama oleh Birmingham City, ketua jurulatih skuad senior iaitu Carl Robinson turut mengalami nasib yang sama – dipecat – seperti Rooney.

Featured Image: Birmingham City

Komen