Artikel

Penyerang Liga Czech, Pemain Tengah Kedah Barisi Skuad Bahrain Di Piala Asia 2023

Penghuni ranking ke-86 dunia, Bahrain yang akan ditentang Malaysia pada perlawanan kedua peringkat kumpulan dalam saingan Piala Asia 2023 turut diperkuatkan dengan seorang pemain berpangkalan di benua eropah.

Pemain yang dimaksudkan ialah Abdulla Yusuf Helal, 30 tahun, beraksi sebagai penyerang bersama Mlada Boleslav dalam divisyen pertama Republik Czech – Liga Fortuna.

Yusuf yang mempunyai ketinggian 1.94 meter (m) menyertai Mlada Boleslav pada penghujung Jun lalu telah membuat 19 penampilan dalam saingan bola sepak Czech dan menjaringkan enam gol serta mencetak dua bantuan gol setakat ini.

Senarai 26 pemain skuad kebangsaan kendalian Juan Antonio Pizzi kelahiran Argentina itu turut diperkuatkan dengan kehadiran pemain tengah Kedah Darul Aman FC kelahiran Nigeria namun mempunyai kerakyatan Bahrain iaitu Moses Atede.

Selain itu, Bahrain atau nama julukannya, Muharabbi Dilmun turut diperkasakan dengan pemain sayap Kuwait SC yang beraksi dalam saingan Liga Kuwait, Mohamed Marhoon serta seorang lagi pemain sayap, Ali Madan dari Ajman Club yang bersaing dalam kancah Liga Pro UAE. 

Selebihnya, skuad Bahrain dibarisi dengan majoriti pemain daripada kelab-kelab yang beraksi dalam kancah bola sepak domestiknya seperti penjaga gol – Ebrahim Lutfalla (Al-Ahli), Sayyed Mohammed Jaffer (Al-Muharraq) dan Abdulkarim Fardan (Al-Riffa).

Senarai itu diikuti barisan pertahanan, antaranya, Amine Benadi, Waleed Al-Hayyam, Abdulla Al-Khulasi (Al-Muharraq), Sayed Mehdi Baqer, Hazza Ali, Hussain Al-Eker, Mohammed Abdul Qayoom (Al-Riffa), Ahmed Bughmmar dan Mohamed Adel (Al-Khaldiya).

Manakala barisan pemain tengahnya terdiri daripada Ibrahim Al-Wali, Mohamed Abdulwahab (Al-Najma), Jasim Khelaif (East Riffa), Jassim Al-Shaikh (Al-Riffa), Mohamed Al-Hardan (Al-Khaldiya) dan Ebrahim Al-Khatal (Manama Club). 

Di bahagian serangannya, Bahrain memiliki empat pilihan pemain iaitu Abdulla Al-Hashsash (Al-Ahli), Mahdi Al-Humaidan (Al-Khaidiya), Ali Hasan Isa dan Komail Al-Aswad (Al-Riffa).

Bahrain akan memulakan kempen Piala Asia 2023 peringkat kumpulan dengan menentang Republik Korea (15 Januari) diikuti dengan Malaysia (20 Januari) dan akhir sekali, Jordan (25 Januari).

Sebagai rekod, ini merupakan penampilan ketujuh Bahrain di pentas Piala Asia selepas menyertai pada edisi 1988, 2004, 2007, 2011, 2015 dan 2019.

Pencapaian terbaik mereka hadir pada edisi 2004 yang berlangsung di China dimana mereka menamatkan saingan di tempat keempat.

Featured Image: Instagram Abdulla Yusuf

komen