Menteri Sahkan Saingan Piala Asia 2023 Akan Disiarkan Di RTM
January 3, 2024 Hafizuddin Omar

Perlawanan-perlawanan bola sepak saingan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Qatar bermula 12hb Januari akan dapat ditonton secara percuma oleh para peminat skuad Harimau Malaya serta seluruh rakyat Malaysia secara amnya. 

Ini selepas Menteri Komunikasi, YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil mengesahkan pertandingan melibatkan 24 negara terbaik di benua asia itu akan disiarkan stesen televisyen milik kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM). 

Bahkan, Fahmi yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai turut memaklumkan RTM akan menyiarkan perlawanan melibatkan pasukan-pasukan lain yang turut beraksi merebut trofi Piala Asia terbabit.

“Ada beberapa pihak yang bertanya samada ianya (Piala Asia 2023) akan disiarkan dalam RTM? Jawapannya adalah ya, ia akan disiarkan bermula 12hb Januari,”

“Saya telah mendapat pengesahan daripada pihak-pihak yang berwajib dan Insya-Allah akan disiarkan,”

“Kita boleh tonton di RTM bermula 12hb Januari, jangan risau, pihak kerajaan akan pastikan kita dapat tonton perlawanan bukan hanya melibatkan Harimau Malaya tetapi juga pasukan-pasukan yang lain dalam Piala Asia ini,” katanya dalam sidang media, pada hari ini.

Untuk makluman, skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon akan menghadapi saingan Piala Asia itu dengan gabungan kekuatan 13 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), empat pemain Sabah FC, tiga pemain Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC masing-masing serta seorang pemain Negeri Sembilan FC, Buriram United (Thailand) dan Dewa United FC (Indonesia) masing-masing.

Harimau Malaya yang diundi dalam Kumpulan E akan memulakan kempen dengan menentang Jordan (16hb Januari) diikuti Bahrain (20hb Januari) dan menutupnya dengan bertemu Republik Korea (25 Januari).

Komen