Pemain Skuad Kebangsaan Syria Sah Sertai Johor Darul Ta’zim
January 3, 2024 Hafizuddin Omar

Pemain tengah bertahan yang sedang mengikuti skuad kebangsaan Syria bagi menghadapi saingan Piala Asia 2023 di Qatar sah menyertai kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Individu yang dimaksudkan itu ialah Jalil Elias, 27 tahun, menyertai skuad berjulukan Harimau Selatan secara rasmi setelah satu video berdurasi 49 saat dimuat naik di pelbagai platform media sosial milik kelab berkenaan, pada hari ini.

Pemain kelahiran Rosario, Argentina serta mempunyai kerakyatan Syria ini menjadi rekrut pertama JDT untuk mengharungi saingan musim 2024-25 di bawah ketua jurulatih yang dilantik semula, Hector Bidoglio.

Bagaimanapun, tiada sebarang perincian mengenai penyertaan Jalil bersama JDT seperti bayaran gaji, tempoh kontrak mahupun nombor yang akan disarungnya dikongsikan kepada umum setakat ini.

Kehadiran Jalil ini pastinya akan memberikan saingan kepada pemain-pemain tengah sedia ada JDT seperti Natxo Insa, Nathaniel Shio Hong Wan, Afiq Fazail dan beberapa pemain lain lagi untuk merebut tempat di posisi berkenaan.

Untuk makluman, Jalil yang berkebolehan untuk beraksi sebagai pemain tengah dan pemain tengah kanan itu merupakan bekas pemain San Lorenzo dalam kancah Liga Argentina.

Bersama kelab lamanya itu, Jalil merekodkan 117 penampilan selain menjaringkan lima gol dan mencetak tiga bantuan gol. 

Sebelum menyertai San Lorenzo, karier bola sepak Jalil turut tertumpu di negara kelahirannya dengan menyertai kelab seperti Godoy Cruz, Club Atletico Union dan Newell’s Old Boys.

Sebagai tambahan, Jalil dijangka akan membuat penampilan bersama skuad kebangsaan Syria ketika menentang Malaysia dalam aksi perlawanan persahabatan tertutup pada 8hb kelak.

Featured Image: San Lorenzo

Komen