Bergson Penjaring Ke-12 Terbanyak Dunia Tahun 2023 – Melebihi Benzema, Martinez & Salah
January 4, 2024 Hafizuddin Omar

Rekod 39 gol yang dicetak oleh penggempur prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva meletakkan namanya sebagai penjaring ke-12 terbanyak di dunia pada tahun 2023.

Ini selepas penggempur berusia 32 tahun itu tersenarai di tempat ke-12 dalam anugerah Penjaring Lelaki Terbaik Global Dunia 2023 oleh Persekutuan Sejarah dan Statistik Bola Sepak Antarabangsa (IFFHS).

Berdasarkan perincian yang dipersembahkan oleh IFFHS, Bergson mencetak 21 gol dalam saingan liga tertinggi kebangsaan (NL), 14 gol dalam kejohanan berpialan kebangsaan (NC) serta 4 gol dalam pertandingan kelab antarabangsa rasmi (ICC).

Bertambah menarik, rekod jaringan Bergson itu turut mengatasi beberapa penyerang bola sepak tersohor dunia seperti Karim Benzema (38 gol), Lautaro Martinez (37 gol), Mohamad Salah (36 gol) dan beberapa nama besar lain lagi.

Pada masa yang sama, senarai itu memperlihatkan Bergson muncul satu-satunya pemain tunggal yang beraksi di rantau asia timur menembusi kelompok 64 penjaring terbanyak dunia sepertimana dikongsikan senarai oleh IFFHS tersebut.

Sementara itu, pemenang anugerah Penjaring Lelaki Terbaik Dunia Global 2023 IFFHS diberikan kepada penyerang Al Nassr dan skuad kebangsaan Portugal, Cristiano Ronaldo dengan rekod sebanyak 54 gol.

Pemenang anugerah yang sama pada tahun 2022, Kylian Mbappe yang beraksi bersama Paris Saint-Germain (PSG) pula muncul penjaring kedua terbanyak pada tahun 2023 dengan rekod 52 gol.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen