Akram Muncul Pemain Tonggak Ketiga Tinggalkan Naib Juara Piala AFC
January 4, 2024 Hafizuddin Omar

Pemain tengah bertahan yang bakal menjengah usia 31 tahun, Akram Mahinan menjadi pemain tonggak terbaru mengumumkan meninggalkan kelab yang muncul naib juara Piala AFC 2022 iaitu Kuala Lumpur City FC (KL City).

Akram yang kali terakhir dilihat beraksi bersama skuad kebangsaan pada 2021 mengesahkan meninggalkan skuad berjulukan The City Boys selepas mengucapkan selamat tinggal menerusi satu hantaran di laman sosialnya.

“Saya rasa sudah sampai masanya untuk saya mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan dan penyokong-penyokong KL City,”

“Terima kepada semua jurulatih-jurulatih dan staf KL City. Tidak dilupakan juga kepada presiden kelab.” tulisnya.

Bagaimanapun, Akram yang merupakan kelahiran Kulim, Kedah tidak memberikan sebarang bayangan apatah lagi hala tuju baharunya selepas daripada ini.

Sebagai rekod, Akram mula menyertai KL City (dahulunya dikenali sebagai Kuala Lumpur diikuti Kuala Lumpur United FC) pada Disember 2019 selepas meninggalkan Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC).

Sepanjang tempoh itu, Akram menjadi nadi tengah buat skuad The City Boys di bawah tiga ketua jurulatih yang berbeza iaitu Nidzam Adzha, Bojan Hodak serta Nenad Bacina dengan merekodkan 72 penampilan, menjaringkan tiga gol serta mencetak enam bantuan gol menurut Transfermarkt.

Kehadiran Akram selama empat musim telah membantu KL City meraih promosi ke saingan Liga Super pada 2020, menjuarai Piala Malaysia 2021 serta mara ke perlawanan akhir Piala AFC 2022 dan Piala FA 2023.

Sebagai tambahan, Akram menjadi pemain tonggak ketiga skuad The City Boys selepas penjaga gol, Kevin Ray Mendoza dan penyerang yang baru sahaja mendapat kerakyatan Malaysia, Romel Morales.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Muhammad Akram (@akramninho14)

Featured Image: Kuala Lumpur City

Komen