Artikel

Arif Aiman, Bruno Fernandes Setaraf Di Pentas Antarabangsa

Penyerang sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes mempunyai ketajaman di hadapan gawang yang setaraf di pentas antarabangsa sepanjang tahun 2023.

Ini selepas kedua-dua pemain yang berusia 21 dan 29 tahun masing-masing itu berkongsi kedudukan ke-19 dalam senarai Penjaring Lelaki Terbaik Antarabangsa Dunia 2023 oleh Persekutuan Sejarah dan Statistik Bola Sepak Antarabangsa (IFFHS).

Arif dan Bruno berkongsi kedudukan ke-19 daripada kelompok 40 penjaring terbanyak antarabangsa selepas menjaringkan 9 gol masing-masing bersama skuad kebangsaan serta pertandingan antarabangsa bersama kelab iaitu Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) serta Liga Europa UEFA (UEL). 

Menariknya, kedua-dua pemain turut berkongsi pecahan jumlah gol yang sama – enam bersama skuad kebangsaan dan tiga ketika beraksi dalam pertandingan antarabangsa bersama kelab masing-masing.

Sementara itu, turut sama berada dalam senarai 40 penjaring terbanyak antarabangsa itu adalah penyerang Sabah FC dan skuad kebangsaan, Darren Lok.

Untuk makluman semua, Anugerah Penjaring Lelaki Terbaik Antarabangsa Dunia 2023 berjaya diraih oleh penyerang AS Roma dan skuad kebangsaan Belgium, Romelu Lukaku setelah mencatatkan 22 gol sepanjang tahun lalu.

Penyerang berusia 30 tahun itu merekodkan 15 gol bersama skuad kebangsaannya serta mencetak tujuh gol dalam pertandingan antarabangsa bersama Inter Milan dan AS Roma.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers & Manchester United

komen