Para peminat dan penyokong yang tidak ke Qatar boleh menyaksikan skuad Harimau Malaya berentap di pentas Piala Asia 2023 secara langsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Ini selepas Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengumumkan menganjurkan tayangan skrin gergasi bagi ketiga-tiga aksi Harimau Malaya pada peringkat Kumpulan E di stadium berkapasiti 87,000 tempat duduk tersebut.
Dimaklumkan sebanyak dua buah skrin gergasi disediakan untuk tontonan peminat skuad Harimau Malaya yang disediakan khas oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Pada masa yang sama, kemasukan para penyokong dan peminat Harimau Malaya untuk menyaksikan tayangan skrin gergasi tersebut adalah percuma.
Harimau Malaya akan memulakan kempen peringkat kumpulan menentang Jordan (ranking ke-87) pada 16hb Januari dengan sepak mula pada jam 1.30 pagi (waktu Malaysia).
Ianya diikuti dengan perlawanan menentang Bahrain (ranking ke-86) pada 20hb Januari, sepak mula 10.30 malam.
Akhir sekali, skuad kendalian Kim Pan-gon akan menutup saingan peringkat kumpulan dengan menentang Republik Korea (ranking ke-23) pada 25hb Januari, sepak mula pada jam 7.30 malam.
Featured Image: Asian Football Confederation