Pemain Kebangsaan Jordan Bersama Polis Sehingga 2026
January 5, 2024 Hafizuddin Omar

Khidmat pemain tengah skuad kebangsaan Jordan, Fadi Awad akan terus digunakan Kelab Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FC) bagi tempoh dua musim lagi.

Ini selepas kelab berjulukan The Cops yang berjaya merangkul kejuaraan Challenge Cup 2023 berhasil mencapai persetujuan bersama Fadi untuk melanjutkan kontrak sehingga tahun 2026.

Pihak PDRM FC turut mengesahkan lanjutan kontrak tersebut menerusi hantaran di pelbagai platform media sosialnya, baru-baru ini.

Pada saat ini, Fadi sedang mengikuti kem latihan bersama skuad kebangsaan Jordan kendalian Hussein Ammouta bagi menghadapi saingan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Qatar.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by PDRM Football Club (@officialpdrmfc)

Bersama Jordan atau nama julukannya, Al-Nashama akan memulakan kempen peringkat kumpulan dengan menentang Malaysia bimbingan Kim Pan-gon pada 16 Januari kelak.

Untuk makluman, Fadi menjadi taruhan utama PDRM FC sepanjang musim 2023 dengan merekodkan 30 penampilan secara keseluruhan merangkumi 21 penampilan Liga Super, satu penampilan Piala FA, dua penampilan Piala Malaysia serta enam penampilan Challenge Cup.

Sebagai rekod, Fadi mula menyertai PDRM FC pada jendela pertengahan musim 2022. Pada musim itu, Fadi berhasil merekodkan sepuluh penampilan dengan lapan daripadanya dalam kancah Liga Premier manakala baki dua penampilan lagi dalam saingan Piala Malaysia.

Sementara itu, PDRM FC turut memaklumkan lanjutan kontrak melibatkan seorang lagi pemain importnya iaitu Kyaw Min Oo merangkap pemain kebangsaan Myanmar selama tahun sekaligus kekal sehingga tamat saingan musim 2024-25.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by PDRM Football Club (@officialpdrmfc)

Featured Image: PDRM Football Club

Komen