JDT Penyumbang Terbesar Pemain Di Pentas Piala Asia 2023 – 15 Orang
January 5, 2024 Hafizuddin Omar

Gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi penyumbang terbesar pemain buat negara-negara yang beraksi di pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar.

Kejohanan yang akan berlangsung dari 12 Januari hingga 10 Februari itu menyaksikan seramai 15 pemain JDT didaftarkan oleh negara-negara yang bertanding – berdasarkan dokumen senarai pemain akhir dikongsikan oleh penganjur.

Malaysia menggunakan 13 pemain JDT yang terdiri daripada Syihan Hazmi, Corbin-Ong, Matthew Davies, Shahrul Saad, Syahmi Safari, Afiq Fazail, Endrick dos Santos, Natxo Insa, Syamer Kutty, Akhyar Rashid, Arif Aiman, Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh.

Manakala baki dua pemain lagi adalah Jordi Amat yang bersama skuad kebangsaan Indonesia serta pemain baharu yang ditandatangani skuad Harimau Selatan, Jalil Elias yang menyahut panggilan skuad kebangsaan Syria.

Sementara itu, tiga kelab lain iaitu Al Ahed FC (Lubnan), Al Sadd SC (Qatar) dan FC Istiklol berkongsi di kedudukan selaku penyumbang kedua terbesar pemain di Piala Asia 2023 dengan jumlah 10 pemain masing-masing.

Lapan daripada pemain Al Ahed membarisi skuad kebangsaan Lubnan manakala seorang pemain mewakili skuad kebangsaan Syria dan Jordan masing-masing.

Untuk Al Sadd SC dan FC Istiklol, kesemua sepuluh pemainnya menjadi tonggak skuad kebangsaan Qatar dan Tajikistan masing-masing.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen