Artikel

RTM Tayang Aksi Malaysia Secara Langsung, Tak ‘Delay’ Di Saluran Okey & Sukan RTM

Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan aksi skuad bola sepak kebangsaan atau nama julukannya, Harimau Malaya pada peringkat Kumpulan E dalam saingan Piala Asia 2023 menerusi secara langsung.

Ini bermakna ketiga-ketiga perlawanan melibatkan skuad bimbingan Kim Pan-gon menentang Jordan, Bahrain dan Republik Korea tidak akan tertunda selama 15 minit.

“Semua perlawanan yang melibatkan Harimau Malaya di peringkat kumpulan dan perlawanan akhir ditayangkan secara langsung,”

“Empat perlawanan suku akhir dan dua perlawanan separuh akhir secara tertunda akan disiarkan selepas tamat perlawanan,” demikian makluman oleh RTM menerusi satu kenyataan pada hari ini.

Pada Rabu lalu, Menteri Komunikasi, YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil mengesahkan stesen televisyen milik kerajaan akan menyiarkan aksi Harimau Malaya di pentas Piala Asia 2023 yang berlangsung di Qatar sekaligus membolehkan orang ramai menontonnya secara percuma.

Namun begitu, timbul persoalan dalam kalangan penyokong dan peminat skuad Harimau Malaya samada ianya disiarkan secara langsung atau tertunda sepertimana RTM menyiarkan aksi Harimau Malaya yang beraksi di pentas Piala AFF 2022.

Dalam makluman yang sama, RTM turut memaklumkan perlawanan-perlawanan tersebut akan ditayangkan di saluran TV Okey dan Sukan RTM selain boleh diakses menerusi platform RTM Klik.

komen