Hoki Kelayakan Olimpik: Senarai 18 Pemain Lelaki, Tarikh Ke Oman & Perlawanan Persahabatan Diumumkan
January 8, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad hoki senior lelaki kebangsaan bimbingan Arul Selvaraj dijadualkan menghadapi Kejohanan FIH Hoki Kelayakan Olimpik 2024 di Muscat, Oman bermula 15hb hingga 21hb Januari kelak.

Bagi menghadapi kejohanan itu, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Dato’ Najmi Razak secara rasminya mengumumkan senarai 18 pemain yang terpilih.

Senarai 18 pemain lelaki yang akan membawa cabarab tersebut adalah seperti berikut:

  • Penjaga gol – Hafizuddin Othman (21), Zaimi Mat Deris (16)
  • Pertahanan – Marhan Jalil (6, Kapten), Razie Rahim (17), Zulpidaus Mizun (28), Syafiq Hassan (27), Amirul Hamizan Azahar (29), Ramadan Rosli (4)
  • Pemain Tengah – Faiz Helmi Jali (18), Meor Azuan Hassan (20), Nik Aiman Rozemi (24), Shello Silverius (15), Fitri Saari (7)
  • Penyerang – Firhan Ashari (13), Ashran Hamsani (8), Syafiq Sumantri (22), Shahril Saabah (26), Azrai Aizad Abu Kamal (23)

Malaysia atau nama julukannya, Speedy Tigers telah diundi dalam Pool A dan akan memulakan saingan peringkat kumpulan menentang China (10.30 malam, 15 Januari) diikuti dengan Great Britain (12.45 tengah malam, 17 Januari) diakhiri dengan Pakistan (12.45 tengah malam, 19 Januari).

Pasukan yang muncul juara dan naib juara kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir manakala tiga juara, naib juara dan pasukan yang meraih tempat ketiga dalam Kejohanan FIH Hoki Kelayakan Olimpik 2024 akan menempah tiket ke Sukan Olimpik 2024 Paris.

Setakat ini, skuad lelaki yang telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 ialah Perancis (hos), Australia (juara Piala Oceania), Belanda (juara Kejohanan EuroHockey), India (pingat emas Sukan Asia), Argentina (pingat emas Sukan Pan American) dan Afrika Selatan (juara Kelayakan Olimpik Afrika).

Sebelum memulakan kempen peringkat kumpulan, Speedy Tigers akan turun beraksi dalam dua perlawanan persahabatan berperanan sebagai aksi pemanas badan menentang Kanada dan Chile pada 12hb dan 13hb Januari masing-masing.

Sementara itu, Najmi turut memaklumkan Speedy Tigers dijadualkan berlepas ke Muscat, Oman pada 11hb Januari kelak.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menjejakkan kaki ke temasya Sukan Olimpik adalah pada edisi 2000 yang berlangsung di Sydney.

Featured Image: Malaysian Hockey Confederation

Komen