Terbuka Malaysia: Beregu Kelapan Dunia Singkir Pearly-Thinaah Di Pusingan 32
January 9, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu wanita No.1 tanah air, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan terpaksa mengucapkan selamat tinggal dengan lebih awal kepada saingan Terbuka Malaysia 2024.

Ini berikutan pasangan negara yang menghuni ranking ke-12 dunia terbabit terpaksa akur tersungkur di Pusingan 32 yang berlangsung di Gelanggang 2, Axiata Arena, sebentar tadi.

Pada aksi tersebut, Pearly-Thinaah tumpas secara “straight set” di tangan beregu China yang menghuni ranking kelapan dunia, Liu Sheng Shu dan Tan Ning.

Pasangan terbabit menumpaskan Pearly-Thinaah menerusi skor 22-20 dan 21-15 dalam tempoh hampir satu jam permainan.

Sebagai rekod, ini merupakan julung kalinya Pearly-Thinaah tumpas di tangan Sheng Shu-Ning daripada tiga pertemuan secara keseluruhan di pentas antarabangsa.

Sementara itu, Sheng Shu-Ning yang melakar kemenangan berhasil melangkah ke peringkay pusingan 16. 

Menantinya di peringkat terbabit adalah gandingan senegaranya, Li Yi Jing dan Luo Xu Min yang berada di ranking ke-26 dunia.

Terdahulu, Yi Jing-Xu Min mara ke peringkat yang sama selepas menundukkan pasangan Belanda, Debora Jille dan Cheryl Seinen secara “straight set” menerusi skor 21-18 dan 21-16.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen