Terbuka Malaysia: Lee Zii Jia Ulang Kegagalan Tahun Lalu
January 9, 2024 Hafizuddin Omar

Perseorangan lelaki No.1 tanah air, Lee Zii Jia terkandas awal dalam saingan Terbuka Malaysia 2024 – sama seperti kejohanan pada tahun lalu.

Pada tahun ini, skrip tersebut berulang apabila Zii Jia yang berada pada ranking kesebelas dunia tumpas di tangan pemain China, Lu Guang Zu.

Dalam pertarungan tersebut, Zii Jia terlebih dahulu melakar kemenangan pada set pertama menerusi skor 21-16.

Bagaimanapun, Guang Zu yang berada di tangga ke-19 dunia berhasil bangkit untuk mencipta kemenangan pada set kedua melalui skor 21-19.

Pada set ketiga, Guang Zu meneruskan konsistensinya dan hasilnya berjaya menutup set itu menerusi skor 21-15 sekaligus meraih kemenangan ke atas Zii Jia.

Menerusi kemenangan ini, Guang Zu meraih tiket ke pusingan 16 bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 1000 ini.

Di peringkat tersebut, Guang Zu akan bertemu pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting yang menumpaskan wakil Chinese Taipei, Su Li Yang secara “straight set” 21-18 dan 21-12.

Sebagai rekod, Zii Jia tewas pada pusingan 32 di tangan Kodai Naraoka menerusi tiga set permainan yang berskor 21-13, 17-21 dan 19-21 dalam kejohanan Terbuka Malaysia 2023.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen