Terbuka Malaysia: Beregu No.2 Dunia Sekat Anna-Mei Xing Ke Pusingan 16
January 10, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu wanita No.3 tanah air, Anna Cheong dan Teoh Mei Xing terpaksa akur beraksi satu perlawanan sahaja dalam saingan Terbuka Malaysia 2024.

Gandingan pemain berusia 25 dan 26 tahun masing-masing ini tidak dapat mengulangi kemaraan ke pusingan 16 sepertimana dalam saingan Terbuka Malaysia tahun lalu selepas tumpas di tangan beregu No.2 dunia, Baek Ha Na dan Lee So Hee.

Anna-Mei Xing yang turun beraksi di Gelanggang 1 bertempat di Axiata Arena pada hari ini tumpas di tangan pasangan Korea terbabit secara “straight set” menerusi skor 14-21 dan 13-21.

Pertembungan julung kalinya melibatkan Anna-Mei Xing bersama Ha Na-So Hee merangkap naib juara Jelajah Dunia Akhir 2023 itu berlangsung selama 43 minit.

Untuk kejohanan seterusnya, Anna-Mei Xing akan turun beraksi dalam saingan Princess Sirivannavari Thailand Masters 2024 (Jelajah Dunia BWF Super 300) yang akan bermula 30 Januari kelak.

Sementara itu, Ha Na-So Hee yang mara ke pusingan 16 akan berhadapan beregu Hong Kong, Yeung Nga Ting dan Yeung Pui Lam yang berada di ranking ke-21 dunia untuk merebut tiket ke suku akhir.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen