Terbuka Malaysia: Sze Fei-Izzuddin Tak Kandas Awal Seperti Tahun Lalu
January 10, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki No.4 tanah air, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin mengelak daripada mengulangi skrip terkandas seawal peringkat pusingan 32 seperti dalam saingan Terbuka Malaysia pada tahun lalu.

Gandingan pemain yang berusia 26 tahun masing-masing ini berhasil memulakan kempen Terbuka Malaysia 2024 dengan kemenangan selepas menumpaskan lawannya dari Thailand, Supak Jomkoh dan Kittinupong Kedren pada pusingan 32, hari ini.

Lebih mengujakan, Sze Fei-Izzuddin berhasil melakar kemenangan ke atas pemain yang menghuni ranking ke-33 terbabit secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 22-20.

Pertembungan kedua melibatkan Sze Fei-Izzuddin dan Jomkoh-Kedren yang berlangsung di Gelanggang 1, Axiata Arena itu mengambil masa 39 minit sebelum dapat menemui pemenangnya.

Sebagai rekod, ketika kedua-dua pasangan terbabit buat julung kalinya di Terbuka Thailand 2021, ianya dimenangi oleh Jomkoh-Kedren menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 13-21, 21-13 dan 21-17.

Sementara itu, Sze Fei-Izzuddin yang meneruskan kemaraan ke pusingan 16 akan berhadapan samada beregu Denmark, Rasmus Kjaer dan Frederik Sogaard atau beregu senegara merangkap pilihan ketiga kejohanan, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.

Sebagai rekod, ketika beraksi dalam saingan Terbuka Malaysia tahun lalu, Sze Fei-Izzuddin terkandas seawal pusingan 32 susulan tumpas di tangan beregu China, Liang Wei Keng dan Wang Chang menerusi skor 21-16, 11-21 dan 17-21.

Komen