Terbuka Malaysia: Aaron-Wooi Yik, Sze Fei-Izzuddin Rebut Tiket Suku Akhir
January 10, 2024 Hafizuddin Omar

Dua beregu lelaki negara akan bertembung sesama sendiri bagi merebut tiket ke peringkat suku akhir Terbuka Malaysia 2024.

Perebutan itu melibatkan beregu No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menentang pasangan lelaki No.4 negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin pada pusingan 16, esok.

Pertembungan itu disahkan selepas Aaron-Wooi Yik berhasil melakar kemenangan ke atas beregu Denmark, Rasmus Kjaer dan Frederick Sogaard pada pusingan 32, hari ini.

Biarpun diletakkan selaku pilihan ketiga kejohanan, Aaron-Wooi Yik  terpaksa berhempas pulas sekitar satu jam di atas Gelanggang 1 sebelum dapat mengakhiri perlawanan menerusi skor 20-22, 21-13 dan 21-13.

Sebelum itu, Sze Fei-Izzuddin mengesahkan kemaraan selepas mudah menumpaskan beregu Thailand, Supak Jomkoh dan Kittinupong Kedren secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 22-20. 

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik dan Sze Fei-Izzuddin pernah bertemu sebanyak lima kali di pelbagai kejohanan antarabangsa.

Daripada lima pertemuan terbabit, Aaron-Wooi Yik berhasil meraih empat kemenangan sementara Sze Fei-Izzuddin hanya melakar satu kemenangan.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen