Terbuka Malaysia: Sokongan Padu Penyokong Bantu Yew Sin-Ee Yi Singkir Beregu No.1 Denmark
January 11, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki negara yang berada di ranking ke-12 dunia. Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi berhasil mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir Terbuka Malaysia 2024.

Yew Sin-Ee Yi berhasil melakar kemaraan tersebut selepas mengatasi cabaran hebat beregu No.1 Denmark iaitu Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen pada peringkat pusingan 16, hari ini.

Pertarungan yang berlangsung di Gelanggang 1, Axiata Arena menyaksikan Yew Sin-Ee Yi terlebih dahulu meraih kemenangan pada set pertama menerusi skor 21-10.

Akan tetapi, Kim-Astrup yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan bangkit memenangi set kedua menerusi skor 21-11 sekaligus tidak memberikan kemaraan awal buat Yew Sin-Ee Yi ke peringkat suku akhir.

Pada set ketiga, pertarungan melibatkan kedua-dua beregu ini berlangsung sengit berlanjutan sehingga ke mata “deuce” namun dengan sokongan padu oleh peminat tempatan, Yew Sin-Ee Yi berhasil menamatkannya dengan skor 24-22.

Untuk makluman, pertarungan sengit melibatkan Yew Sin-Ee Yi dan Kim-Astrup ini menjangkau 61 minit sebelum menemui pemenangnya.

Sementara itu, Yew Sin-Ee Yi yang mara ke suku akhir akan bertemu samada beregu Jepun yang menghuni ranking ketujuh dunia, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi atau beregu Scotland, Alexander Dunn dan Adam Hall.

Sebagai rekod, kemaraan Yew Sin-Ee Yi ke peringkat suku akhir dalam Terbuka Malaysia 2024 ini menyamai pencapaiannya dalam Terbuka Malaysia 2023.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen