Artikel

NSFC Ganti K. Devan, Lantik CEO Baharu

Negeri Sembilan FC (NSFC) bertindak melakukan penstrukturan semula pengurusan dan hala tujunya sebelum memulakan kempen Liga Malaysia 2024-25 pada 3-5 Mei kelak.

Antaranya skuad berjulukan Hoben Jang Hoben itu tidak lagi menggunakan khidmat K. Devan selaku ketua jurulatih dan sedang memilih individu baharu untuk mengisi posisi berkenaan.

Dimaklumkan, pemilik NSFC iaitu Persatuan Bola Sepek Negeri Sembilan (PBNS) sudah membentuk jawatankuasa pemilihan yang terdiri daripada pengurusan tertinggi kedua-dua entiti bagi memilik ketua jurulatih NSFC yang baharu.

Pemakluman ini sekaligus menoktahkan pembabitan K. Devan selaku ketua jurulatih NSFC buat kali kedua bermula musim 2021.

Sepanjang tempoh itu, Devan telah membantu NSFC muncul juara Liga Premier 2021 yang memberikan mereka tiket promosi ke saingan Liga Super.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Negeri Sembilan FA (@pbns1923)

Bahkan, Devan menyambung kesinambungan itu dengan mengemudi NSFC menamatkan saingan Liga Super 2022 di tempat keempat – pencapaian terbaik selepas muncul naib juara liga musim 2007-08.

Bagaimanapun, Devan bagaikan hilang magisnya apabila sekadar membawa NSFC menamatkan saingan Liga Super 2023 di tempat kesembilan.

Pada masa yang sama, penstrukturan semula pengurusan dan hala tuju NSFC itu turut menyaksikan Setiuasaha Eksekutif PBNS, Faliq Firdaus dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu menggantikan Satwant Singh.

Selain itu, para penyokong NSFC akan disajikan dengan penstrukturan semula melibatkan enam teras utama iaitu pengenalan falsafah bola sepak kelab, pelan perniagaan baharu, penstrukturan semula tangga gaji, pembangunan infrastuktur, pembangunan pasukan belia dan pemerkasaan hubungan antara pemegang taruh.

Menurut Presiden PBNS, TYT Tunku Syed Razman bin Tunku Syed Idrus Al-Qadri merangkap Tunku Besar Tampin, penstrukturan ini dicadangkan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif PBNS dan dipersetujui oleh Ahli Lembaga Pengarah NSFC.

Terdulu, satu Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif PBNS Kali Ketiga 2022-2025 yang turut melibatkan ahli-ahli jawatankuasa baharu iaitu Timbalan Presiden, YB Dato’ Mohd Zafir Ibrahim; Naib Presiden, YB Mustapha Nagoor dan Ahli Jawatankuasa, YB Dato’ Mohd Khidir Majid telah berlangsung baru-baru ini.

Featured Image: Malaysian Football League

komen