AFC Pilih Corbin-Ong Sebagai Pemain Bintang Malaysia
January 12, 2024 Hafizuddin Omar

Pertahanan kiri berdarah campuran Malaysia-Barbados, La’Vere Corbin-Ong diangkat oleh penganjur sebagai pemain bintang dalam skuad Malaysia menjelang saingan Piala Asia 2023.

Pertahanan berusia 32 tahun yang kini beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) ditampilkan sebagai pemain bintang bagi skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya dalam video pengenalan pasukan.

Video yang disiarkan di pelbagai platform media sosial rasmi penganjur itu turut menyertakan statistik 22 penampilan serta tiga jaringan gol oleh Corbin bersama Harimau Malaya setakat ini.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by #AsianCup2023 (@afcasiancup)

Dalam video yang sama, penyerang sayap berusia 21 tahun yang memiliki enam gol, Arif Aiman Hanapi pula ditonjolkan sebagai bintang sedang meningkat naik Harimau Malaya.

Video itu turut menyematkan fakta mengenai penyertaan Harimau Malaya sebanyak tiga kali dalam saingan Piala Asia iaitu edisi 1976, 1980 dan 2007.

Ketiga-tiga penyertaan itu berakhir setakat peringkat kumpulan disamping melakar satu-satunya kemenangan ketika menentang Emiriah Arab Bersatu pada edisi 1980.

Tidak dilupakan, peratusan kemenangan sebanyak 72.72% oleh Kim Pan-gon turut disertakan sekali.

Setakat artikel ini ditulis, video tersebut telah meraih tontonan sekitar 327,000 (Instagram), 268,000 (X), 158,000 (Tiktok) dan 75,000 (Facebook). 

Untuk makluman, Harimau Malaya akan membuka kempen Piala Asia 2023 menentang Jordan diikuti Bahrain dan Republik Korea pada 16hb, 20hb dan 25hb masing-masing.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen