Perjalanan Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi dalam kejohanan Terbuka Malaysia 2024 ternoktah di peringkat suku akhir.
Ini gara-gara beregu lelaki bebas (independent) negara yang menghuni ranking ke-12 dunia gagal mengatasi cabaran yang diberikan oleh Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi – juara Kejohanan Dunia BWF 2021.
Pertembungan melibatkan kedua-dua beregu itu tadi menyaksikan Yew Sin-Ee Yi ditumpaskan dengan mudah oleh Hoki-Kobayashi dari Jepun secara “straight set” menerusi skor 15-21 dan 9-21 dalam tempoh sekitar setengah jam sahaja.
PETRONAS Malaysia Open 2024
MD – QF
🇯🇵Takuro HOKI🏅
21 21 🇯🇵Yugo KOBAYASHI🏅
🇲🇾ONG Yew Sin
15 9 🇲🇾TEO Ee Yi🕚 in 34 minutes
— BWFScore (@BWFScore) January 12, 2024
Kekalahan itu bukan sahaja mengekang Yew Sin-Ee Yi mara ke pentas separuh akhir bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000 bahkan menjarakkan lagi rekod pertemuannya dengan Hoki-Kobayashi.
Pada saat ini, Yew Sin-Ee Yi telah tumpas sebanyak lapan kali di tangan Hoki-Kobayashi daripada sepuluh pertemuan di pentas antarabangsa secara keseluruhan.
Sementara itu, Hoki-Kobayashi yang mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir akan bertemu beregu No.1 dunia dari China, Liang Wei Keng dan Wang Chang untuk merebut tiket ke pentas akhir.
Terdahulu, Wei Keng-Chang yang merupakan naib juara Jelajah Dunia Akhir BWF 2023 melakar kemaraan ke peringkat separuh dengan menyingkirkan juara bertahan yang menghuni ranking keenam dunia dari Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia