Artikel

Terbuka Malaysia: Juara Dunia 2022 Kecundang

Gandingan yang merangkul kejuaraan Kejohanan Dunia BWF 2022 iaitu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik kecundang di peringkat suku akhir sekaligus gagal mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia 2024.

Aaron-Wooi Yik yang juga beregu lelaki No.1 negara gagal melakar kemaraan terbabit ekoran tumpas di tangan Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae – juara Kejohanan Dunia BWF 2023.

Dalam perlawanan terbabit, Kang-Seo dari Republik Korea berjaya merakamkan kemenangan ke atas Aaron-Wooi Yik menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-16, 18-21 dan 21-13.

Perlawanan sengit yang berlangsung di Gelanggang 1, Axiata Arena itu memakan masa lebih satu jam sebelum dapat ditentukan pemenangnya.

Pada masa yang sama, keputusan terbabit menjadikan Aaron-Wooi Yik kini merekodkan dua kekalahan daripada tiga pertemuan secara keseluruhan di pentas antarabangsa apabila menentang Kang-Seo.

Selain itu, kekalahan Aaron-Wooi Yik ini menjadikan tiada sebarang wakil negara akan menyerikan pentas separuh akhir Terbuka Malaysia 2024 selepas Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi turut sama terkandas lebih awal, pada hari ini.

Sementara itu, Kang-Seo akan berhadapan beregu No.2 dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty pada peringkat separuh akhir bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000 ini.

Terdahulu, gandingan India yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Asia 2022 dan juara Kejohanan Badminton Asia 2023 mara selepas merekodkan kemenangan secara “straight set” 21-11 dan 21-8 dalam tempoh masa 35 minit ke atas beregu China, He Ji Ting dan Ren Xiang Yu.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen