Artikel

Skuad Hoki Lelaki Negara Gagal Ke Sukan Olimpik Buat Kali Ke-6

Peluang untuk skuad hoki senior lelaki kebangsaan melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik 2024 Paris telah terkubur.

Ini berikutan skuad negara berjulukan Speedy Tigers sekadar mencatatkan keputusan seri 3-3 ke atas Pakistan, awal pagi tadi, pada perlawanan terakhir Pool A dalam kejohanan FIH Hoki Kelayakan Olimpik 2024.

Dalam perlawanan tersebut, skuad bimbingan Arul Selvaraj terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Mohd Fitri Saari (20’) sebelum disamakan kedudukan oleh Sufyan Khan (23’).

Tidak lama kemudian, Speedy Tigers kembali mendahului menerusi Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (30’). Akan tetapi, Pakistan pantas menyamakan semula kedudukan melalui Ammad Butt (33’).

Hasrat Speedy Tigers untuk mara ke peringkat separuh akhir kembali menyala apabila bola pukulan Muhammad Firhan Ashari (41’) menerjah jaring gawang lawan. 

Bagaimanapun, pendahuluan terbabit disamakan sekali lagi oleh Pakistan menerusi jaringan Waheed Ashraf Rana (52’) dan kedudukan terbabit kekal berlanjutan sehingga wisel ditiup menandakan tamatnya permainan.

Keputusan tersebut membuatkan Speedy Tigers menamatkan saingan Pool A sebagai pasukan tercorot dengan sekadar mengutip satu mata dan gagal melangkah ke peringkat separuh akhir bagi kejohanan kelayakan ini.

Sementara itu, Pakistan berhasil menempatkan dirinya pada tangga kedua peringkat kumpulan sekaligus meraih tiket ke peringkat separuh akhir mengiringi Great Britain selaku juara Pool A.

Sebagai rekod, ini merupakan kali keenam berturut-turut Speedy Tigers gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik selepas kali terakhir beraksi di temasya berkenaan pada tahun 2000 di Sydney, Australia.

Sungguhpun telah gagal melayakkan diri ke separuh akhir, Speedy Tigers akan meneruskan kempen kejohanan FIH Hoki Kelayakan Olimpik 2024 ke peringkat klasifikasi tempat kelima hingga kelapan.

Featured Image: FIH / MHC

komen