Artikel

Malaysia Turuti Vietnam, Tersingkir Piala Asia 2023

Skuad bola sepak kebangsaan bimbingan Kim Pan-gon sah tersingkir daripada saingan Piala Asia 2023 sama seperti Vietnam biarpun mempunyai baki satu lagi perlawanan peringkat kumpulan.

Skuad kebangsaan atau nama julukannya, Harimau Malaya tersingkir ekoran tumpas kepada Bahrain yang menghuni ranking ke-86 dunia pada aksi kedua peringkat Kumpulan E, sekitar tengah malam tadi.

Lebih memeritkan dan mendukacitakan, Malaysia tumpas di tangan Bahrain dengan keputusan tipis 0-1 hasil rembatan pemain sayap, Ali Madan yang hadir pada penghujung waktu permainan iaitu pada minit 90’+5.

Malaysia ternyata tiada jawapan balas terhadap jaringan lewat oleh pemain berusia 28 tahun terbabit sehingga pengadil dari Oman, Ahmed Al Kaf meniup wisel menamatkan permainan.

Kekalahan itu bukan sahaja mengekalkan Malaysia di tangga tercorot Kumpulan E yang tidak memungut sebarang mata daripada dua perlawanan.

Ianya turut mengesahkan penyingkiran Malaysia biarpun merekodkan kemenangan ke atas Republik Korea manakala Bahrain tumpas di tangan Jordan pada aksi terakhir Kumpulan E ekoran kriteria “head-to-head” melibatkan Malaysia dan Bahrain.

Untuk makluman, Malaysia akan turun melengkapkan aksi Kumpulan E menentang Korea bimbingan Jurgen Klinsmann pada 25hb Januari dengan sepak mula jam 7.30 malam (waktu Malaysia).

Terdahulu, Vietnam yang merupakan pasukan No.1 rantau asia tenggara muncul yang terawal tersingkir apabila tumpas di tangan Jepun dan Indonesia pada aksi pertama dan kedua masing-masing peringkat Kumpulan D.

Featured Image: AFC

komen