Sri Pahang Ikat Azrif Nasrulhaq Secara Kekal Sehingga Musim 2025-26
January 22, 2024 Hafizuddin Omar

Bek kanan kelahiran Selangor iaitu Azrif Nasrulhaq kini menjadi milik kekal Sri Pahang FC selepas beraksi secara pinjaman bersama skuad berjulukan Tok Gajah sepanjang tahun 2023.

Khidmat pemain berusia 32 tahun terbabit menjadi milik mutlak skuad bimbingan Fandi Ahmad setelah menandatangani kontrak bersama Sri Pahang.

Menerusi makluman pihak kelab, Azrif menandatangani kontrak selama dua musim yang menyaksikannya kekal menyarung jersi Kuning Biru sehingga tamatnya musim 2025-26.

Difahamkan Azrif mendapat kontrak selama dua musim tersebut susulan penampilan yang memberangsangkan bersama Sri Pahang sepanjang tahun lepas.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by SRI PAHANG FC (@officialsripahang)

Pemain yang dipinjamkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menjadi salah seorang tonggak utama Fandi bagi membarisi kesebelasan utama Sri Pahang sepanjang musim lalu.

Berdasarkan rekod, Azrif tampil sebanyak 29 kali secara keseluruhan yang membabitkan saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Bukan itu sahaja, biarpun beraksi selaku pemain pertahanan, Azrif tidak ketinggalan untuk menyumbangkan sekurang-kurangnya satu gol dan bantuan gol (assist) masing-masing buat Sri Pahang pada musim lalu.

Penglibatannya bersama Sri Pahang membantu kelab berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air terbabit menamatkan saingan Liga Super di tempat kelima – lebih baik berbanding musim 2022.

Buat masa ini, Sri Pahang belum mengumumkan sebarang kemasukan pemain tempatan baharu ke dalam skuadnya bagi menghadapi saingan musim 2024-25 yang akan bermula awal Mei nanti.

Akan tetapi para peminat dan penyokong Sri Pahang boleh menjangkakan beberapa kemasukan pemain tempatan baharu bagi menggantikan beberapa pemain yang telah dilepaskan seperti Muslim Ahmad, Malik Mat Arif, Zuhair Aizat, Wan Syazmin, Shahrul Nizam dan Shamie Iszuan.

Featured Image: Sri Pahang FC

Komen