Piala Asia 2023: Prestasi Malaysia, India Tercorot Selepas 2 Perlawanan
January 22, 2024 Hafizuddin Omar

Malaysia dan India menjadi dua pasukan dengan prestasi tercorot daripada kesemua 24 buah pasukan yang bertanding di pentas Piala Asia 2023. 

Dapatan ini berdasarkan kepada jumlah jaringan serta bolos yang direkodkan oleh kedua-dua pasukan selepas tamatnya hari perlawanan (matchday) kedua bagi kesemua pasukan melibatkan enam buah kumpulan.

Selepas mengharungi dua perlawanan, Malaysia yang menghuni ranking ke-130 dunia gagal mencetak sebarang jaringan disamping mencatatkan lima bolos. 

Empat daripada lima bolos itu terhasil ketika bertemu Jordan manakala baki satu bolos direkodkan ketika menentang Bahrain dalam saingan Kumpulan E.

India yang menghuni ranking ke-102 dunia turut sama berkongsi statistik berkenaan.

Skuad berjulukan The Blue Tigers belum merekodkan sebarang jaringan serta bolos sebanyak lima gol selepas mengharungi dua perlawanan peringkat Kumpulan B.

Ketika turun menentang Australia pada perlawanan pertama, India bolos sebanyak dua gol. Sementara itu, tiga lagi bolos direkodkan semasa bertembung Uzbekistan.

Biarpun sama-sama memiliki prestasi yang tercorot selepas mengharungi dua perlawanan peringkat kumpulan, India masih masih berpeluang untuk mara ke pusingan 16 bergantung kepada keputusan pada perlawanan akhir dalam kumpulannya serta pungutan mata pasukan di tangga ketiga bagi setiap kumpulan.

Ini berbeza dengan Malaysia bimbingan Kim Pan-gon yang disahkan lebih awal gagal mara ke pusingan 16 waima sebarang keputusan terhasil selepas selesainya perlawanan terakhir Kumpulan E. 

Sementara itu, pasukan dari rantau asia tengah, Kyrgyzstan yang menghuni ranking ke-98 dunia muncul pasukan ketiga tercorot di pentas Piala Asia 2023 – tiada sebarang jaringan serta bolos empat gol.

Featured Image: AFC

Komen