Kehebatan atlet SUKMA, Muhammad Aiman Hamdan, 22 tahun, di dalam bidang sukan nampaknya tidak tertumpu dalam sukan tenis semata-mata.
Atlet kelahiran Sarawak yang meraih pingat emas dalam acara tenis bagi kategori beregu lelaki pada temasya SUKMA edisi lalu kini berjinak dengan sukan baharu iaitu pickleball – gabungan permainan tenis, badminton dan ping-pong.
Penglibatannya dalam sukan terbabit bukanlah sekadar suka-suka apabila berjaya menjuarai Kejohanan Pickleball ESM Monthly Challenge 0.1 yang berlangsung di ESM Pickters Arena, Universiti Malaya, Sabtu lalu.
View this post on Instagram
Aiman merangkul kejuaraan terbabit hasil bergandingan bersama bekas pemain tenis remaja, Nurin Nabilah dalam kategori beregu campuran dengan menumpaskan gandingan Colin Wong dan Yong Mei Ling.
Sebelum itu, Colin Wong yang bergandingan bersama Cavan Ang terlebih dahulu mengesahkan kejuaraan dalam kategori beregu lelaki apabila berhasil menumpaskan pasangan Andrew Martin dan Tee Chong Jui.
Susulan meraih kejuaraan dalam kategori masing-masing, gandingan Aiman-Nurin dan Colin-Cavan menerima wang tunai bernilai RM500 masing-masing bagi setiap gandingan.
Sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya, Afizal Abu Othman.
Untuk makluman, ESM Monthly Challenge merupakan sebuah kejohanan yang diadakan secara bulanan oleh ESM Pickters Club bagi memperkenalkan sukan pickleball yang masih dianggap baru di Malaysia.
Menerusi penganjuran kejohanan ini, ianya diharapkan mampu memupuk minat orang ramai terhadap sukan pickleball sekaligus mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan ini.
Untuk penganjuran edisi seterusnya pada Februari nanti, penganjur akan memperkenalkan kategori beregu wanita bagi menarik lebih ramai minat orang ramai terhadapnya.
View this post on Instagram