Artikel

Indonesia Masters: Letshanaa Kejutkan Pornpicha, Mara Ke Pusingan 32

Perseorangan wanita No.2 negara, Letshanaa Karupathevan memulakan aksi sulungnya dalam saingan Indonesia Masters 2024 dengan nota kemenangan.

Lebih manis, Letshanaa melakar kemenangan terbabit dengan mengejutkan pemain yang menghuni ranking lebih tinggi daripadanya serta tidak pernah ditumpaskannya setakat ini. 

Pemain yang dimaksudkan itu ialah Pornpicha Choeikeewoong dari Thailand yang menghuni ranking ke-42 dunia.

Letshanaa yang berada pada ranking ke-60 dunia bertemu Pornpicha pada peringkat suku akhir pusingan kelayakan sebentar tadi berhasil menumpaskannya menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 16-21, 21-14 dan 21-11 dalam tempoh 52 minit.

Sebelum ini, Letshanaa pernah berentap menentang Pornpicha sebanyak dua kali.

Kedua-dua pertemuan yang berlangsung di Cabaran Antarabangsa Vietnam 2023 dan Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia 2019 itu berpihak kepada Pornpicha.

Sementara itu, menerusi kemenangan ke atas Pornpicha, Letshanaa berhasil mengesahkan tempat ke peringkat pusingan 32 babak undian utama pada kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500.

Pada aksi tersebut, Letshanaa akan bertemu pemain wanita No.2 Indonesia yang berada di ranking ke-31 dunia, Putri Kusuma Wardani.

Sebagai rekod, Letshanaa julung kali menentangnya pada kejohanan Siri Antarabangsa Malaysia 2019 dimana ianya berakhir dengan Putri meraih kemenangan secara “straight set” 21-12 dan 21-16.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen