Indonesia Masters: Wei Chong-Kai Wun, Fajar-Rian Kembali Bertembung
January 23, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki No.1 tuan rumah, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto menjadi lawan yang akan dihadapi oleh Man Wei Chong dan Tee Kai Wun pada pusingan 16 Indonesia Masters 2024.

Pertembungan itu terhasil apabila kedua-dua beregu berhasil melakar kemenangan ke atas lawan masing-masing pada pusingan 32 yang berlangsung pada hari ini.

Wei Chong-Kai Wun terlebih dahulu mengesahkan kemaraan selepas berjaya menumpaskan gandingan Denmark yang menghuni ranking ke-52 dunia menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 17-21, 21-10 dan 21-14.

Untuk makluman, keputusan ini menjadikan Wei Chong-Kai Wun kini melakar kemenangan ke atas lawan yang sama dua kali berturut-turut selepas menumpaskan mereka secara “straight set” pada kejohanan Terbuka Scottish 2021.

Kemudiannya, Fajar-Rian yang diletakkan selaku pilihan ketiga kejohanan menyusul setelah menumbangkan gandingan Chinese Taipei, Lee Jhe-Huei dan Yang Po-Hsuan dengan bergaya secara “straight set” 21-16 dan 21-14 dalam tempoh 32 minit.

Hasil kemenangan tersebut, kedua-duanya mara dan bertembung pada pusingan 16 bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir.

Sebagai rekod, Wei Chong-Kai Wun yang berada pada ranking ke-18 dunia sudah pernah bertemu Fajar-Rian sebanyak dua kali di pentas antarabangsa, sebelum ini.

Pertemuan terakhir melibatkan kedua-dua beregu ini baru sahaja berlangsung di Terbuka India 2024 pada minggu lepas. Manakala satu lagi pertemuan berlaku dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022.

Bagaimanapun, kedua-dua pertemuan terbabit berakhir dengan Wei Chong-Kai Wun menanggung kekalahan.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 

Komen