Indonesia Masters: Kian Meng-Pei Jing Kembali Jejak Pusingan 16
January 24, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu campuran No.3 negara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing gagal melakar kemaraan ke pusingan 16 dalam tiga kejohanan terakhir yang disertai mereka sejak penghujung November lalu.

Bagaimanapun, rekod buruk itu menemui titik noktahnya apabila Kian Meng-Pei Jing berhasil meraih kemenangan ketika turun beraksi pada pusingan 32 dalam saingan Indonesia Masters 2024, hari ini.

Dalam perlawanan tersebut, Kian Meng-Pei Jing bertemu wakil Denmark, Mathias Thyrri dan Amalie Magelund merekodkan kemenangan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-19, 18-21 dann 21-19 dalam tempoh 65 minit.

Keputusan itu sekaligus menjadikan Kian Meng-Pei Jing mengulangi kemenangannya ke atas lawan yang sama ketika bertemu buat julung kalinya dalam Terbuka Swiss sekitar dua tahun lalu.

Susulan kemenangan itu, Kian Meng-Pei Jing yang mara ke pusingan 16 akan berhadapan beregu senegara, Chan Peng Soon dan Cheah Yee See untuk merebut tiket suku akhir bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 500.

Terdahulu, Peng Soon-Yee See melakar kemaraan yang sama apabila menumpaskan wakil Amerika Syarikat, Vinson Chiu dan Jennie Gai secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 21-11. 

Sebagai rekod, Kian Meng-Pei Jing mengalami prestasi yang tidak memberangsangkan apabila tumpas pada pusingan 32 secara berturut-turut bermula saingan China Masters 2023, Terbuka Malaysia 2024 dan Terbuka India 2024.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters

Komen