Piala Asia 2023: Sasaran 1 Mata Hamidin Tercapai
January 25, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak kebangsaan berhasil menamatkan kempen Piala Asia 2023 dengan mencapai sasaran satu mata yang ditetapkan.

Sebelum terbang ke Qatar, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu Datuk Haji Hamidin Mohd Amin mensasarkan Malaysia membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

Sasaran tersebut tercapai susulan Malaysia berjaya mengikat Republik Korea yang menghuni ranking ke-23 dunia dalam perlawanan terakhir Kumpulan E, pada hari ini.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Al Janoub itu, Malaysia mengikat Korea dengan keputusan 3-3 menerusi jaringan oleh Faisal Halim (51’), Arif Aiman(62’) dan Romel Morales (90’+15).

Manakala jaringan oleh Korea pula disumbangkan oleh Jeong Woo-yeong (21’), jaringan sendiri Syihan Hazmi (83’) dan Son Heung-min (90’+4).

Bagaimanapun, keputusan ini tidak mengubah hakikat Malaysia menamatkan aksi peringkat Kumpulan E di tangga tercorot dan gagal layak ke pusingan 16.

Sementara itu, Korea bimbingan Jurgen Klinsmann yang mengumpul lima mata pula muncul naib juara Kumpulan E.

Featured Image: AFC

Komen