Yoodo Hiasi Jersi Skuad Futsal Selangor FC Musim 2024
January 29, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad Futsal Selangor FC akan menempuh saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2024 dengan jersinya dihiasi oleh jenama Yoodo – penyedia perkhidmatan mudah alih yang memberikan pengguna kebebasan untuk mengubah suai pelan data mengikut keperluan.

Perkembangan ini hadir susulan Yoodo diperkenalkan dan diumumkan sebagai penaja rasmi bagi skuad futsal milik Selangor FC dalam satu majlis yang berlangsung di Pusat Latihan Selangor FC, pada hari ini.

“Kami teruja menerima nama besar seperti Yoodo sebagai penaja musim ini. Skuad Selangor FC Futsal akan bekerja keras untuk menjadi pasukan terbaik dan mencapai lebih banyak kejayaan sekali gus membanggakan penaja kelab dan pasukan,” ujar Mimi Afzal, Pengurus Besar Skuad Futsal Selangor FC.

Pada masa yang sama, Mimi meletakkan sasaran untuk kembali merangkul kejuaraan dalam arena futsal negara pada tahun ini.

“Sudah tentu kami mahu piala ini kembali ke Selangor dan pasukan sudah pun bersedia untuk mengulangi pencapaian 2019 dan 2022 tetapi dalam futsal apa sahaja boleh berlaku,” tambahnya.

Sasaran tinggi oleh Mimi itu turut disusuli dengan persiapan awal termasuk menjalani kempen pramusim di Vietnam.

“Kami sudah bersedia awal sejak Oktober lalu dengan Edgar (Baldasso) dikekalkan sebagai jurulatih dan dia mengharapkan yang terbaik dari setiap pemain dengan pasukan sedia untuk memberikan komitmen kepada liga musim ini.” katanya lagi.

Untuk makluman semua, saingan baharu MPFL akan membuka tirainya bermula 17hb Februari kelak sambil disertai sebanyak lapan buah pasukan.

Dalam majlis yang sama, Yoodo turut meneruskan kesinambungan kerjasama dan tajaannya ke atas skuad Red Giants Esports yang bertanding dalam kejohanan Mobile Legends Professional League (MPL).

Komen