Thailand Masters: June Wei Cetak Kemenangan Sulung Tahun 2024
January 31, 2024 Hafizuddin Omar

Perseorangan badminton lelaki No.4 negara, Cheam June Wei, ranking ke-61 dunia, berhasil memulakan pertarungan sulungnya pada tahun 2024 dengan catatan kemenangan.

Catatan tersebut dijelmakan ketika turun beraksi menentang pemain Republik Czech, Jan Louda pada peringkat pusingan 32 dalam kejohanan Princess Sirivannavari Thailand Masters 2024, pada hari ini. 

June Wei menumpaskan pemain di kedudukan ke-50 dunia terbabit menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 15-21, 21-10 dan 21-15 dalam tempoh masa satu jam sekaligus mengesahkan tempat ke pusingan 16.

Sebelum ini, June Wei dan Louda pernah berentap sebanyak dua kali di Cabaran Antarabangsa Nantes 2022 dan Kejohanan Badminton Antarabangsa Wales 2022. 

Dua pertembungan itu berakhir dengan June Wei dan Louda melakar satu kemenangan masing-masing.

Pada pusingan 16, June Wei akan berhadapan pemain Belanda, Mark Caljouw, ranking ke-51 dunia, bagi merebut slot ke peringkat suku akhir bagi Jelajah Dunia BWF Super 300.

Terdahulu, Caljouw mara ke pusingan 16 dengan menumpaskan juara Kejohanan Remaja Dunia 2023 dari Indonesia, Alwi Farhan secara “straight set” 21-15 dan 21-14.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen