Artikel

Thailand Masters: Tang Jie-Ee Wei Muncul Naib Juara, Raih Ganjaran Hampir RM38,000

Beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei berhasil menaiki podium buat julung kalinya pada tahun ini apabila muncul naib juara Thailand Masters 2024 – Jelajah Dunia BWF Super 300.

Pencapaian itu turut memberikan pasangan pemain berusia 26 dan 23 tahun terbabit hadiah berupa wang tunai berjumlah AS$7,980 atau bersamaan hampir RM38,000.

Tang Jie-Ee Wei terlepas peluang untuk bergelar juara susulan tumpas secara “straight set” 12-21 dan 18-21 di tangan jaguh beregu campuran tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh dan Sapsiree Taerattanachai, semalam.

Pertembungan yang berlangsung di Stadium Nasional Nimibutr itu memakan masa 49 minit sebelum beregu Thailand yang menghuni ranking keenam dunia itu muncul selaku pemenangnya dan meraih AS$16,590 yang bersamaan hampir RM79,000.

Kekalahan itu turut menjadikan Tang Jie-Ee Wei kini tumpas sebanyak lima kali di tangan Dechapol-Sapsiree daripada enam pertemuan secara keseluruhan di kejohanan peringkat antarabangsa.

Sebagai rekod, pencapaian muncul naib juara ini merupakan yang terbaik buat Tang Jie-Ee Wei pada tahun ini selepas terkandas pada pusingan 16 dalam ketiga-tiga kejohanan yang disertainya iaitu di Indonesia Masters (Super 500), Terbuka India (Super 750) dan Terbuka Malaysia (Super 1000) pada tahun ini.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

komen