Medal Sukan Olimpik 2024 Punyai Cebisan Menara Eiffel – Berat Sekitar ½kg
February 9, 2024 Hafizuddin Omar

Atlet yang muncul juara, naib juara atau tempat ketiga dalam sebarang acara di temasya Sukan Olimpik 2024 akan membawa pulang medal yang disertakan dengan satu elemen yang cukup unik – cebisan logam Menara Eiffel seberat 18 gram (g).

Rekaan medal emas, perak dan gangsa yang akan dikalungkan kepada atlet-atlet di temasya yang berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos di Paris, Perancis itu diperkenalkan kepada umum oleh penganjur, malam tadi.

Selain disertakan dengan logam daripada menara ikonik dan masyhur di ‘Kota Cinta’ terbabit, ketiga-tiga medal itu turut mengetengahkan rekaan berbentuk heksagon atau segi enam.

Di satu bahagiannya lagi, ia dihiasi dengan figura dewi kemenangan yunani, Nike, berlatarbelakangkan Stadium Panathenaic – venue sulung Sukan Olimpik moden pada tahun 1896.

Sebagai tambahan, kesemua medal ini berukuran 85mm (diameter) dan 9.2mm (ketebalan). Sementara itu, berat bagi setiap medal emas, perak dan gangsa adalah 529g, 525g dan 455g masing-masing. 

Menurut penganjur, sebanyak 5,084 keping medal dihasilkan secara keseluruhan untuk direbut oleh atlet-atlet yang akan beraksi pada temasya Sukan Olimpik kali ini.

Untuk makluman semua, medal-medal ini direka oleh pakar pembuat barangan kemas mewah Perancis, Chaumet.

Featured Image: Olympic / Paris 2024

Komen