BATC: Skuad Wanita Negara Muncul Naib Juara Kumpulan Y
February 15, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad wanita negara sah muncul naib juara Kumpulan Y dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024.

Pengesahan itu hadir selepas wakil ketiga negara iaitu Letshanaa Karupathevan tumpas pertarungan ketiga di tangan perseorangan Thailand, Busanan Ongbamrungphan sebentar tadi.

Dalam pertarungan itu, Letshanaa yang berada pada ranking ke-57 dunia tumpas secara “straight set” menerusi skor 17-21 dan 18-21 dalam tempoh masa 47 minit.

Keputusan itu sekaligus membuat Malaysia ketinggalan 0-3 kepada skuad wanita dari negara berjulukan Gajah Putih terbabit biarpun mempunyai baki dua lagi pertarungan.

Terdahulu, Malaysia ketinggalan 0-2 susulan wakil pertama dan kedua iaitu Goh Jin Wei serta gandingan Pearly Tan-Thinaah Muralitharan tumpas kepada lawan masing-masing pada pertarungan pertama dan kedua.

Sementara itu, keputusan pada hari ini juga mengesahkan Thailand selaku juara Kumpulan Y. 

Bagaimanapun, gelaran naib juara itu sudah memadai buat skuad wanita negara untuk melangkah ke peringkat kalah mati iaitu peringkat suku akhir.

Akan tetapi, lawan bagi Malaysia serta pasukan-pasukan yang layak ke saingan kalah mati akan ditentukan menerusi undian selepas daripada ini.

Untuk makluman, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran buat skuad wanita serta lelaki untuk mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir dalam saingan BATC 2024 supaya melayakkan diri secara merit ke saingan Piala Uber dan Thomas 2024.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen