Bek Skuad Remaja Belanda, Steenvoorden Sarung Jersi No.4 Bersama Terengganu FC
February 15, 2024 Hafizuddin Omar

Naib juara Piala Malaysia 2023, Terengganu FC memperkenalkan seorang lagi pemain import baharunya bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2024-25.

Menerusi video berdurasi 64 saat di pelbagai platform media sosialnya pada hari ini, pemain baharu yang diperkenalkan itu ialah Matthew Steenvoorden – bekas bek skuad kebangsaan Belanda bawah 19 (B-19) dan 16 tahun (B-16).

Untuk makluman, bek tengah kelahiran Leidschendam, Belanda ini sudah berusia 31 tahun dan mempunyai ketinggian 1.88 meter (m).

Bagaimanapun, tempoh kontrak Steenvoorden yang dikatakan merupakan darah Indonesia dan mampu beraksi selaku pemain tengah bertahan ini bersama Terengganu FC tidak didedahkan secara umum.

Dijangka Steenvoorden akan menjadi taruhan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner untuk digandingkan bersama pemain tempatan, Shahrul Nizam Ros Hasni selaku duo bek tengah Terengganu FC.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Terengganu Football Club️️ (@officialterengganufc)

Sebelum ini, Steenvoorden beraksi dalam kancah bola sepak Uzbekistan bersama Pakhtakor FC.

Kelibatnya bersama Pakhtakor membolehkan kelab berkenaan mempertahankan kejuaraannya buat kali keempat berturut-turut.

Selain itu, Steenvoorden turut sempat tampil sebanyak dua kali dalam pertandingan elit bola sepak asia iaitu Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2023-24. 

Sebelum berkelana ke benua asia, karier Steenvoorden banyak berkisar di negara kelahirannya seperti Feyenoord, Excelsior Rotterdam, Dordrecht FC, SC Cambuur Leewarden.

Selepas itu, Steenvoorden berhijrah ke Croatia dengan menyertai HNK Gorica pada tahun 2019.

Sebagai tambahan, Steenvordeen menjadi pemain import baharu yang kedua diikat Terengganu FC selepas memperkenalkan Ismaheel Akinade, dua hari lalu.

Featured Image: Terengganu FC

Komen