Ranking FIFA: Thailand Pasukan No.1 Asia Tenggara, Vietnam Jatuh 12 Anak Tangga
February 15, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad kebangsaan Vietnam kini bukan lagi pasukan bola sepak No.1 bagi rantau asia tenggara.

Skuad berjulukan Naga Emas itu hilang takhta gelaran tersebut selepas Persekutuan Persatuan Bola Sepak Dunia (FIFA) melakukan kemaskini terhadap Ranking Dunia, pada hari ini.

Kemaskini tersebut menyaksikan Vietnam hilang sebanyak 41.00 mata susulan tewas ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar, baru-baru ini.

Kehilangan mata tersebut menyebabkan Vietnam jatuh 12 anak tangga berbanding ranking yang dihuninya sebelum ini, ranking ke-94, dan kini menghuni ranking ke-106 dunia.

Pada masa yang sama, kejatuhan ini turut menyebabkan Vietnam terkeluar daripada kelompok 100 pasukan terbaik dunia buat julung kalinya selepas 5 tahun dua bulan dan 17 hari.

Sementara itu, takhta pasukan bola sepak No.1 rantau asia tenggara kini dipegang oleh Thailand. 

Skuad berjulukan Gajah Perang yang berjaya mara ke Pusingan 16 pada Piala Asia 2023 berhasil meraih tambahan 29.97 mata.

Pungutan mata itu membolehkan mereka merekodkan peningkatan sebanyak 12 anak tangga sekaligus berada di ranking ke-101 dunia.

Lanjutan itu, Malaysia bimbingan Kim Pan-gon kekal selaku pasukan No.3 asia tenggara.

Bagaimanapun, skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya yang menamatkan saingan Piala Asia 2023 dengan kutipan satu mata terpaksa menerima penurunan dua anak tangga yang meletakkan mereka pada ranking ke-132 dunia saat ini.

Kedudukan pasukan-pasukan asia tenggara yang lain pula adalah seperti berikut; Filipina (ranking ke-139), Indonesia (ranking ke-144), Singapura (ranking ke-155), Myanmar (ranking ke-162), Kemboja (ranking ke-179), Laos (ranking ke-189), Brunei (ranking ke-194) dan terakhir Timor Leste (ranking ke-200).

Untuk makluman tambahan, kemaskini Ranking Dunia oleh FIFA yang seterusnya dijadualkan pada 4 April 2024.

Featured Image: AFC

Komen