Skuad futsal Sabah akan mengharungi saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) dengan memilih ibu negara iaitu Kuala Lumpur selaku ‘home’ atau pangkalannya termasuk menjalankan sesi latihannya.
Pengerusi Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bola Sepak (SAFA), Rafiuddin Gulistan menjelaskan pemilihan Kuala Lumpur sebagai pangkalannya adalah untuk memudahkan Sabah bertemu pasukan-pasukan yang kompetitif.
Difahamkan, pemilihan ‘home’ di Kuala Lumpur itu merupakan salah satu pembaharuan dan penambahbaikan yang dilakukan oleh Sabah bagi tahun ini.
“Untuk tahun 2024 ni, kita memang akan buat pembaharuan dan pembaikan, salah satu kenapa kita pilih ‘home’ dan dan semuanya di Kuala Lumpur sebab ini memudahkan kita punya ‘training’ dan tim-tim yang ada di sini lebih kompetitif,
“Dan memudahkan kita punya ‘exposure’ kepada pasukan kita, untuk meningkatkan pasukan kita,” katanya dalam sidang media selepas memperkenalkan pasukan dan jersi skuad fusal Sabah di Petaling Jaya, semalam.
Sebagai rekod, Sabah muncul pasukan tunggal dari kepulauan Borneo yang beraksi dalam saingan Divisyen 1 – yang ditandingi sebanyak lapan buah pasukan – bagi musim ini.
Sementara itu, Rafiuddin memaklumkan Sabah yang kini dibimbing oleh Pat Sriwijit dari Thailand serta dikuatkan dengan kehadiran dua pemain import, Felipe Leite dan Joao Gabriel meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan Divisyen 1 selaku tiga pasukan terbaik.
Bukan itu sahaja, Sabah yang berwajah baharu ini turut memperkemaskan lagi persiapannya untuk menghadapi saingan MPFL Divisyen 1 kali dengan terbang ke Thailand bagi menjalani aksi pramusim.
Di sana, anak-anak buah Coach Pat telah turun menentang empat buah pasukan dari negara berkenaan dimana dua daripanya merupakan pasukan daripada saingan Liga Futsal Thailand iaitu Nonthaburi dan Kasem Bundit University.
Untuk makluman semua, Sabah akan memulakan saingan Divisyen 1 dengan bertemu juara berganda musim 2019, Selangor FC (dahulunya dikenali sebagai Selangor MAC) pada Ahad di Stadium Panasonic, Shah Alam.
Featured Image: Azri Haziq